comscore
Tumpuan :
Nasional

Kesesakan jalan raya : Penduduk Lembah Klang bazir 500 jam setahun

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Setiap penduduk Lembah Klang terpaksa menghabiskan masa secara purata lebih 500 jam setahun di dalam kenderaan gara-gara terperangkap dalam kesesakan lalu lintas terutama pada waktu puncak, melibatkan kos ditanggung mencecah lebih RM3,696.

Secara purata setiap bulan pula, penduduk di kawasan berkepadatan tinggi ini terpaksa membazir masa 44 jam dengan jumlah nilai kerugian produktiviti RM308 membabitkan bahan bakar dan sebagainya.

Ia dapatan hasil kajian firma pemetaan digital antarabangsa bersama kajian lapangan daripada pakar tempatan bagi 2023.

Perkara itu turut didedahkan Pensyarah Kanan (Kejuruteraan Pengangkutan) Jabatan Kejuruteraan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Ahmad Nazrul Hakimi Ibrahim.

Beliau  turut menyatakan jumlah purata kenderaan di kawasan berkenaan sangat menyumbang kepada masalah ini.

Menurut Ahmad Nazrul, lebih tiga juta kenderaan keluar masuk setiap hari di Kuala Lumpur dan untuk waktu puncak, lebih 10,000 unit kenderaan keluar masuk dalam sejam.

“Kadar pembandaran di negara ini pada dua tahun lalu adalah 77.7 peratus dan Kuala Lumpur adalah satu daripada kawasan yang paling pesat membangun dengan kepadatan penduduk 6,891 orang untuk setiap kilometer persegi.

“Pembangunan antara negeri yang tidak sekata di negara kita mengakibatkan segalanya tertumpu di Lembah Klang.

“Terlalu banyak projek pembangunan yang ditumpukan di Lembah Klang semata-mata yang meliputi Selangor dan Kuala Lumpur serta boleh dikatakan, sebahagian besar pelaburan dan peluang pekerjaan dialirkan ke kawasan ini,” katanya kepada Metro Ahad.

Ahmad Nazrul berkata, faktor lain yang menyumbang kepada masalah ini adalah tahap kebergantungan penduduk  terhadap kenderaan persendirian, masih tinggi.

Isu ini dibuktikan menerusi statistik perkongsian mod pengangkutan awam pada 2018 adalah  20 peratus berbanding kenderaan persendirian iaitu 80 peratus.

“Selain itu, kadar pemilikan kereta yang direkodkan saban tahun adalah tinggi dengan merujuk kepada data Persatuan Automobil Malaysia (AAM), secara konsistennya, lebih 500,000 kereta terjual di negara ini setiap tahun sejak 2010 sehingga 2022.

“Tahun 2022 menyaksikan jumlah kenderaan yang terjual di negara ini melepasi 700,000 unit setahun, buat julung kali dalam sejarah iaitu 721,000 unit.

“Bagi tempoh tiga tahun daripada 2020 hingga 2022, terdapat penambahan 1.76 juta bilangan kenderaan baru di atas jalan raya dan keadaan ini memburukkan lagi isu kesesakan trafik di negara kita,” katanya.

Ahmad Nazrul berkata, terdapat juga isu ‘bottleneck’ iaitu berlakunya penyempitan lorong jalan daripada keadaan sebenar sehingga mencetuskan kesesakan luar biasa.

Katanya, ia membabitkan aktiviti pembinaan dan kerja-kerja lain yang banyak terdapat di atas jajaran jalan raya di sekitar Lembah Klang akan menyebabkan isu ‘bottleneck’.

Menurut Ahmad Nazrul, kadar kemalangan jalan raya yang tinggi terutamanya di Lembah Klang juga menyumbang kepada kesesakan lalu lintas.

“Kemalangan boleh menyebabkan penutupan jalan dan boleh mengganggu aliran lalu lintas selama beberapa jam,” katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini