comscore
Tumpuan :
Nasional

Penduduk penat hadap banjir tempat sama

Oleh Faiz Rais

KLANG: “Kami sudah penat nak hadap banjir kilat”

Itu antara keluhan yang disuarakan penduduk di Taman Saujana Aman dan Meru di Klang, Selangor susulan banjir kilat yang berlaku di kawasan terbabit dua hari lalu.

Menurut penduduk, setiap kali hujan mereka pasti bimbang dan terpaksa bersiap sedia bagi mengelakkan kerugian harta benda termasuk risiko kehilangan nyawa akibat banjir kilat.

Menurut dakwaan penduduk Taman Saujana Aman kawasan perumahan mereka akan menjadi seperti kolam tadahan banjir setiap kali hujan lebat melanda.

Malah mereka turut mendakwa sekiranya hujan lebat berlaku di Paya Jaras dan Sungai Buloh, arus air tetap mengalir ke kawasan penempatan mereka sekali gus menyebabkan banjir kilat.

Berikutan situasi itu, penduduk sentiasa berada dalam kembimbangan meninggalkan rumah untuk pergi bekerja.

Menurut seorang penduduk, Amin Yaziz Bani Yamin, akibat daripada bukit yang ditarah menyebabkan air mengalir dengan begitu cepat sehingga menjadi seperti pulau.

“Kalau hujan di Paya Jaras ataupun Sungai Buloh, sudah pasti kawasan kediaman kami akan mengalami banjir. Kawasan kediaman seperti tempat persinggahan untuk air itu berhenti.

Justeru, dia mengharapkan pihak berwajib dapat menguruskan masalah ini dengan segera.

Akibat kejadian banjir kilat yang sering berulang, penduduk terjejas juga terpaksa menanggung kerugian selepas kenderan mereka rosak ditenggelami air kerana tidak sempat mengalihkannya ke tempat lebih tinggi.

Lebih teruk jika mereka terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sementara menunggu air surut dan keadaan kembali selamat.

Menurut penduduk dan peniaga di sini, Ahmad Aini anggaran kerugian yang dihadapi sebanyak tiga ribu ringgit disebabkan perlu membeli barang-barang yang baru.

Antaranya, meja, kerusi, tong air dan pinggan mangkuk.

Sementara itu tinjauan kru Buletin TV9 di Meru pula mendapati ada segeilintir peniaga terpaksa menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) untuk memantau keadaan di kedai mereka ketika hujan.

CCTV itu dijadikan sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya air sudah membanjiri kedai.

Menurut seorang tukang jahit, Kenanga Bain dia sudah penat nak bersihkan lumpur di dalam dan luar kedai.

Bukan itu sahaja, rezeki juga akan terputus disebabkan kedai terpaksa ditutup.

Pelanggan tidak boleh datang ke kedai dengan keadaan banjir.

Penduduk dikawasan ini mendakwa sistem saliran longkang atau parit yang tidak diselenggara dipercayai menjadi punca kekerapan berlakunya banjir kilat.

Menurut Presiden Gerakan Masyarakat Prihatin SeMalaysia, S Hassan Kuthoos Syed Ahmed Kabeer saliran longkang harus diselenggara dengan cara yang betul.

Pihak berwajib kena memainkan peranan yang penting malah tidak perlu menunggu aduan.

“Walaupun hujan tidak turun dengan lebat tetapi mesti tempat itu akan berlakunya banjir. Bagi orang yang kerja memang penat apabila pulang ke rumah melihat harta benda musnah. Banyak kerugian yang harus ditanggung,” ujarnya lagi.

Justeru mereka menggesa pihak berwajib mengambil tindakan segera bagi mengelakkan masalah terus berulang.

Loading...
Terkini