comscore
Tumpuan :
Nasional

Penganggur patah kaki tercampak atas kubur selepas dirempuh kereta

Muhammad Amiruddin Basir, 24, patah kaki kiri selepas tercampak di atas tanah perkuburan Islam bersebelahan Masjid Qariah Alai, Melaka pagi semalam. – Foto: Ihsan PDRM

Oleh: Baharuddin Mohamed

MELAKA: Seorang penganggur nyaris maut apabila melambung dan tercampak ke atas kubur selepas dirempuh sebuah kereta di Jalan Alai-Kandang menghala Muar berhadapan Masjid Qariah Alai, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, Muhammad Amiruddin Basir, 24, patah kaki kiri selepas tercampak di atas tanah perkuburan Islam bersebelahan masjid berkenaan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC dalam perjalanan dari arah Bandaraya Melaka ke Muar.

Ketika tiba di tempat kejadian, kata beliau, mangsa cuba memotong sebuah lori di hadapannya yang dalam arah sama.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada penunggang motosikal yang cuba memotong sebuah lori di hadapan.

“Bagaimanapun, motosikal terbabit telah terlanggar cermin sisi sebuah kereta Perodua Bezza yang dipandu seorang guru berusia 37 tahun yang datang dari dari arah bertentangan.

“Akibatnya, motosikal itu hilang kawalan lalu tercampak ke atas tanah perkuburan Masjid Qariah Alai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Christopher, mangsa yang berasal dari Kampung Pulai, Merlimau di sini dirawat di Zon Kuning, Hospital Melaka.

Keadaan mangsa ujarnya, bagaimanapun dilaporkan stabil.

Pemandu kereta yang berasal dari Duyong di sini kata beliau, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes berkenaan tambahnya, disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Loading...
Terkini