comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Pengeluaran durian Musang King merosot, harga dibimbangi meningkat

GUA MUSANG: Seorang pemilik kebun durian di daerah ini menjangkakan pengeluaran hasil durian musang king di kebun miliknya akan berkurangan kira-kira 70 peratus berbanding tahun lalu susulan cuaca tidak menentu sejak dua minggu lalu.

Menurut Tina Chong, banyak buah durian yang sedang membesar gugur akibat cuaca panas pada siang hari dan hujan pada waktu petang atau malam.

Tina, 45, memiliki lebih sembilan hektar kawasan tanaman durian musang king.

Katanya, cuaca panas menyebabkan terdapat pokok yang ‘sakit’ dan langsung tidak dapat menghasilkan buah.

Pada masa sama, beliau menjangka akan berlaku kenaikan harga bagi raja buah itu pada tahun ini.

“Perubahan cuaca menyebabkan sebahagian daripada 1,000 batang pokok durian seperti musang king tidak dapat berbuah dan ada antaranya yang gugur apabila hujan lebat dan ribut.”

“Cuaca panas yang melanda daerah Gua Musang antara 35 sehingga 38 darjah Celcius menyebabkan hasil durian termasuklah musang king dan duri hitam yang diusahakan oleh saya dapat dijual kira-kira 30 peratus sahaja tahun ini,” katanya ketika ditemui di kebun duriannya di Taman Rusa di sini hari ini.

Tina berkata dengan pengeluaran hasil yang hanya 30 peratus itu hanya cukup untuk menampung kos bagi menguruskan kebun miliknya yang dianggarkan sebanyak RM400,000 setahun.

“Setiap tahun saya perlu keluarkan modal untuk membaja, menyelenggara dan mengupah pekerja menjaga kebun,” katanya.

Tambah Tina, kebiasaan pada tahun-tahun sebelum ini sebatang pokok durian yang ditanam boleh menghasilkan antara 300 hingga 400 biji durian.

Tambah Tina, dia menjangka harga buah durian musang king akan dijual melebihi RM80 sekilogram bagi gred A kerana faktor buah yang kurang.

“Pada tahun lalu saya jual durian musang king mengikut gred antara harga RM35 sehingga RM80 sekilogram dan tahun ini saya jangka harganya melebihi RM80.”

“Saya juga tidak dapat mengeksport durian musang king ke negara China dan Singapura kerana hasil buah berkurangan serta cukup untuk pasaran tempatan sahaja,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini