comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Pengguna pakej prabayar nikmati kuota internet tambahan percuma, pulangan tunai sempena Aidilfitri

 

 

KUALA LUMPUR: Sempena Aidilfitri, pengguna pakej prabayar Maxis, CelcomDigi, Unifi Mobile, Umobile dan YES akan menikmati kuota internet tambahan percuma dan pulangan tunai bagi tempoh tertentu hingga 31 Mei depan.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata inisiatif itu hasil kerjasama strategik antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi berkenaan.

Kemudahan yang disediakan tertakluk kepada terma dan syarat ditetapkan syarikat penyedia perkhidmatan berkenaan.

“Usaha Kerajaan dan semua syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang terbabit selari dengan konsep RAHMAH dalam meringankan kos sara hidup sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat. Diharapkan kemudahan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengguna pakej prabayar sempena musim perayaan ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Fahmi, pengguna pakej prabayar Maxis akan menikmati kuota tambahan 100 gigabait (GB) menerusi pelan Internet HotlinkMU sepanjang tempoh sah laku pas yang dibeli, dan tawaran itu sah sehingga 15 Mei depan.

Pengguna CelcomDigi pula bakal menerima kuota tambahan pelan video HD 555GB bernilai RM5 khusus bagi melayari video, dengan tempoh sah laku selama empat hari dan tawaran itu juga sah hingga 15 Mei depan.

Selain itu, pengguna Unifi Mobile akan menerima pulangan tunai RM5 dengan pelan Internet prabayar 4G/5G.

Unifi Mobile turut menawarkan data 4G dan 5G serta panggilan tanpa haf berharga RM35 selama 30 hari dan sah sehingga 5 Mei depan.

Umobile pula menawarkan bonus kuota internet 10GB menerusi pelan Pakej Perpaduan yang sah sehingga 31 Mei depan.

Bagi pengguna YES, mereka akan menikmati kuota internet tambahan 44GB dengan tempoh sah laku selama tujuh hari, yang sah sehingga 15 Mei depan.

Loading...
Terkini