comscore
Tumpuan :
Nasional

Pengguna tergendala daftar PADU, kerajaan sedang usaha selesai masalah – Rafizi

Kakitangan kerajaan melakukan pendaftaran maklumat peribadi di dalam laman web Pangkalan Data Utama (PADU) selepas Majlis Peluncuran Pangkalan Data Utama (PADU) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. – Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Susulan gangguan akses ke sesawang Pangkalan Data Utama (PADU) yang dibuka secara langsung hari ini untuk pendaftaran, kerajaan sedang berusaha untuk menyelesaikan masalah berkaitan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata ketika ini masalah adalah berkaitan dengan pengguna syarikat telco Celcom saja.

“Masalah OTP (kata laluan enam digit) tidak diterima setakat ini didapati membabitkan pengguna Celcom. Pengguna khidmat telco lain tidak ada masalah.

“Perkara ini sedang dikendalikan pasukan PADU dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya di catatan di laman X hari ini.

Rafizi turut menasihati orang ramai supaya menggunakan alamat laman web dengan URL,http://padu.gov.my.

Gangguan akses ke sesawang PADU dipercayai berikutan ramai pengguna media sosial merebut peluang menjadi 3,000 pendaftar terawal, sekali gus melayakkan mereka mendapatkan kad Touch ‘n Go (TnG) versi teknologi Komunikasi Medan Dekat (NFC) secara percuma.

Pembangunan PADU dilaksanakan secara dalaman oleh Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) tanpa membabitkan perunding luar bagi membina kepakaran dan keupayaan penjawat awam selain pada masa yang sama bertujuan untuk memastikan keselamatan data terjamin.

Ia akan menjadi sumber rujukan berpusat yang mengandungi profil individu yang menyeluruh merangkumi maklumat demografi dan pelbagai maklumat seperti pendidikan, kesihatan, bantuan sosial yang diterima dan pendapatan isi rumah.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini