comscore
Tumpuan :
Nasional

Penghantar makanan maut selepas 20 jam bertarung nyawa

Foto PDRM Kota Kinabalu

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Seorang penghantar makanan Foodpanda maut selepas motosikal ditunggangnya bergesel dengan sebuah kereta di Jalan UMS, berhampiran 1B, di sini, semalam.

Mangsa Lawrence Medi, 43, meninggal dunia di Hospital Likas, jam 12.45 tengah hari tadi, selepas kira-kira 20 jam bertarung nyawa akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, kejadian kemalangan jam 4.25 petang membabitkan penunggang motosikal yang bekerja sebagai e-hailing dengan sebuah kereta jenis Honda Civic.

Katanya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati pemandu Honda Civic lelaki berusia 27 tahun dari arah One Sulaman menuju ke Likas.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, ketika itu kereta Honda Civic di lorong kanan dan apabila terdapat sebuah kenderaan lain di hadapannya bergerak perlahan, pemandu terbabit menukar ke lorong tengah untuk memotong lalu tiba-tiba bergesel di bahagian tepi belakang sebelah kiri dengan motosikal yang ditunggang mangsa.

“Akibat daripada itu, mangsa terjatuh di atas jalan raya bersama motosikal Yamaha Lagenda miliknya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Likas oleh ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Likas, jam 12.45 tengah hari tadi.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Loading...
Terkini