comscore
Tumpuan :
Nasional

Penjaja di lampu isyarat berdepan saman

KUANTAN: Tindakan saman akan diambil terhadap penjaja yang berniaga di persimpangan lampu isyarat di sekitar daerah ini.

Tindakan sama turut dikenakan oleh Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) kepada orang ramai khasnya pengguna jalan raya yang membeli jualan itu.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Norkamawati Kamal, berkata langkah tegas itu dikeluarkan jika mereka terus ingkar dan berdegil melakukan kegiatan itu selepas teguran dibuat pihaknya.

“Setakat ini, tiada sebarang saman dikeluarkan lagi kerana kita masih pada peringkat memberi kesedaran kepada mereka termasuk penjaja jalanan bahawa aktiviti berniaga dan membeli di tengah jalan boleh membahayakan nyawa orang ramai.

“Selepas ini, tindakan saman akan dibuat terhadap mereka (penjaja dan pembeli) jika masih melakukan aktiviti itu,” katanya.

Norkamawati berkata, pasukan warden lalu lintas MBK kini menguatkuasakan tindakan mengikut Kaedah 10A (1) dan Kaedah 10A (2) Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959.

Beliau berkata, tindakan saman dan sitaan barang jualan akan diambil ke atas penjaja yang melakukan aktiviti menjaja di kawasan lampu isyarat.

“Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya sekali.

“Kita bukan menghalang pihak terbabit terutama golongan muda mencari rezeki dengan berniaga, tetapi mereka perlu mematuhi peraturan dan undang-undang yang ada,” katanya.

Sementara itu, tinjauan mendapati walaupun amaran larangan menjaja di persimpangan lampu isyarat dikeluarkan MBK, namun aktiviti itu terus berlaku di persimpangan lampu isyarat Kem Batu 10 dan Gambang.

Loading...
Terkini