comscore
Tumpuan :
Nasional

Tawar kerja yang tidak wujud, suri rumah kerugian RM110,556

Foto hiasan

KUANTAN: Seorang suri rumah di daerah ini kerugian RM110,556 selepas terpedaya dengan tawaran kerja sambilan secara dalam talian yang tidak wujud.

Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman, berkata berdasarkan laporan, wanita berusia 36 tahun itu menyertai satu iklan dalam aplikasi Telegram pada 30 Mei lalu.

Katanya, mangsa dikehendaki membuat tanda suka dan berkongsi video di Youtube yang diletakkan dalam aplikasi terbabit.

“Mangsa ditawarkan 15 hingga 20 peratus keuntungan daripada lapan tugasan yang diberikan oleh suspek.

“Pada masa sama, mangsa melakukan 21 pindahan wang kepada lima akaun bank yang berlainan untuk menjelaskan bayaran yang dikehendaki oleh suspek.

“Mangsa menggunakan wang simpanan sendiri dan pinjaman daripada rakannya untuk semua transaksi yang keseluruhannya berjumlah RM110,556.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru Yahaya menasihati dan menegaskan masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pekerjaan melalui laman media sosial yang menjanjikan pulangan lumayan.

“Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan terlebih dahulu bagi setiap tawaran kerja yang ditawarkan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Loading...
Terkini