comscore
Tumpuan :
Nasional

Penjualan Kidzania Singapura tiada kaitan dengan anak syarikat Khazanah

FOTO: Kidzania Singapura

PETALING JAYA: Khazanah Nasional Bhd menegaskan laporan berkenaan penjualan asetnya, KidZania Singapura kepada pengendali taman tema Sim Leisure Group adalah tidak tepat.

Dalam satu kenyataan, Khazanah menjelaskan Sim Leisure Group, operator baharu Kidzania, telah membeli semua aset kekal daripada pelikuidasi dan memulakan rundingan mendapatkan lesen francais daripada Kidzania Mexico.

“Keputusan Sim Leisure untuk memulakan semula Kidzania Singapura menerusi pengumuman pada 12 Jun lalu tiada kaitan dengan Destination Resorts and Hotels Sdn Bhd (DRH) atau mana-mana anak syarikatnya.”

“Ini kerana lesen operasi Rakan Riang Pte Ltd (Rakan Riang) telah ditamatkan pada Jun 2020,” katanya.

Kidzania Singapura yang dibuka pada Julai 2016 dikendalikan oleh Rakan Riang, anak syarikat kepada DRH, yang sebelum ini dikenali sebagai Themed Attractions Resorts & Hotels Sdn Bhd (TARH)

DRH merupakan anak syarikat Khazanah Nasional.

Walaupun Rakan Riang berusaha untuk mencapai kedudukan kewangan yang stabil untuk Kidzania, namun pandemik COVID-19 dan kesannya kepada ekonomi menyebabkan jualan tiket merudum dan memberi kesan kepada prestasi keseluruhan kewangan rakan komersilnya.

Ini membawa kepada penggulungan secara sukarela dan pelantikan pihak pelikuidasi pada 11 Jun 2020 untuk mendapatkan dan menyelesaikan semua aset Rakan Riang dan mengagihkannya kepada semua pemiutang.

Khazanah turut mengesahkan premis, tanah dan ruang Kidzania Singapura beroperasi dimiliki oleh pihak ketiga, bukan DRH atau anak syarikatnya.

Berhubung pembelian aset Kidzania, Sim Leisure katanya telah berhubung dengan Kidzania de Mexico S.A. de C.V. dan telah diberikan kebenaran dan persetujuan bertulis untuk menggunakan harta intelek Kidzania selain elemen lain hak milik dalam fasiliti Kidzania Singapura.

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan pengendali taman tema, Sim Leisure Group memperoleh KidZania Singapura dengan hanya SG$110,000 (RM379,398).

KidZania Singapura sebelum ini dilancarkan oleh Khazanah dan Boustead Holdings Bhd pada 2016, dengan suntikan pelaburan RM165.52 juta.

KidZania Singapura bagaimanapun dilaporkan memiliki hutang sebanyak RM184.17 juta, dengan 93 peratus hutang itu kepada Theme Attractions Resorts & Hotels Sdn Bhd (TARH).

Loading...
Terkini