comscore
Tumpuan :
Nasional

Penumpang feri terkandas akan ke Langkawi tengah malam ini

Semua penumpang berjaya dipindahkan dengan bantuan enam bot nelayan tempatan, sebuah bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) serta sebuah bot tunda, petang tadi. – Foto: Ihsan APMM

ALOR SETAR: 133 penumpang feri yang terkandas di perairan Kuala Kedah petang tadi akan meneruskan perjalanan ke Langkawi dijangka jam 12 tengah malam ini.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom berkata, perkara itu dipersetujui selepas pihaknya mengadakan perbincangan dengan penumpang feri terbabit yang mahu ke pulau itu malam ini.

Beliau berkata, selepas mendapat kelulusan daripada Jabatan Laut Malaysia (JLM), pihaknya menyediakan feri lebih besar untuk membawa kesemua penumpang terbabit dari Kuala Kedah ke Langkawi.

“Sebuah feri dari Langkawi akan bergerak jam 10 malam ini dan akan membawa kesemua penumpang dari Kuala Kedah ke Langkawi pada jam 12 tengah malam iaitu ketika air pasang.

“Feri Starcity Express 6 yang terkandas itu setakat ini masih berada di tempat kejadian disebabkan air surut,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Baharin berkata, petang tadi semua penumpang berjaya dipindahkan dengan bantuan enam bot nelayan tempatan, sebuah bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) serta sebuah bot tunda.

Feri yang terkandas juga akan ditunda ke jeti, malam ini.

Loading...
Terkini