comscore
Tumpuan :
Nasional

Penyelarasan agensi pembangunan keusahawanan kerajaan negeri, persekutuan elak pertindihan

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick bersama wakil-wakil kementerian dan agensi kerajaan negeri yang menganggotai Jawatankuasa Penyelerasan Pembangunan Keusahawanan Negeri Sabah.

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Penyelarasan semua agensi persekutuan dan negeri yang terlibat dalam pembangunan keusahawanan penting bagi mengelak pertindihan penerima pembiayaan, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.

Pengwujudan jawatankuasa penyelarasan itu juga ujarnya bertujuan untuk memantapkan lagi kerjasama dan tidak bergerak sendirian apabila melaksanakan program-program di Sabah.

“Ia juga akan memastikan kumpulan sasaran menerima manfaat sewajarnya dan tiada yang tertinggal daripada manfaat yang disediakan kerajaan negeri dan persekutuan.

“Tahniah kepada kerajaan negeri kerana bersetuju untuk kita menubuhkan satu jawatankuasa penyelarasan pembangunan keusahawanan melibatkan kesemua agensi persekutuan dan negeri yang terlibat dengan pembangunan keusahawanan di Sabah.

“Jawatankuasa yang sama juga diadakan di Sarawak dan saya percaya dengan adanya jawatankuasa ini, kedua-dua kerajaan negeri dan persekutuan dapat memperkasakan kerjasama supaya tidak lagi seperti selama ini, di mana agensi-agensi persekutuan bergerak bersendirian apabila melaksanakan program yang dimandatkan di bawah agensi masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Negeri Sabah (JPPKNS) di sini, hari ini.

Ewon berkata, pengwujudan jawatankuasa itu juga dilihat mampu membantu golongan sasar khususnya usahawan kecil, sederhana, penjaja dan peniaga kecil-kecilan.

Mesyuarat yang julung kalinya diadakan itu dihadiri 21 wakil agensi dan akan ditingkatkan dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawan Datuk Phoong Jin Zhe berkata, inisiatif yang diwujudkan itu adalah usaha yang baik demi pembangunan semua usahawan di Sabah khususnya golongan belia.

Katanya, adalah penting semua agensi Pusat dan negeri duduk bersama-sama dan menyelaras seterusnya mencari pendekatan memudahkan para usahawan yang mahu memperkasakan perniagaan masing-masing.

Loading...
Terkini