comscore
Tumpuan :
Nasional

PERHEBAT saran Skim Perkhidmatan Persaraan Negara, diterima dalam semua perkhidmatan awam

Oleh: Fatin Hanani Sahimi

PETALING JAYA: Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) menyarankan agar Skim Perkhidmatan dan Persaraan Negara, diterima pakai dalam semua badan perkhidmatan awam, bertujuan untuk pembangunan sosio ekonomi anggota selepas menamatkan perkhidmatan mereka.

Ketua Pengarahnya Zakariah Md Sam berkata, usaha itu memanfaatkan mereka yang ingin meneruskan perkhidmatan bermajikan atau perkhidmatan sebagai anggota awam, bagi membolehkan anggota menyambung perkhidmatan dengan menggunakan kepakaran yang dipelajari semasa latihan.

Mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan akan mengambil kira semua pandangan veteran termasuk PERHEBAT dalam mesyuarat Skim Perkhidmatan Persaraan Negara yang dijadual akan bersidang pada minggu hadapan, jelasnya, ia perlu mengambil kira beberapa perkara asas.

“Pertama melibatkan perlembagaan negara, tafsiran pekhidmatan awam itu meliputi anggota tentera kerana mereka termasuk dalam kategori perkhidmatan awam

“Cuma dalam menguruskan perkhidmatan awam yang dianggotai tentera, maka kerajaan menubuhkan Majlis Angkatan Tentera (MAT) yang sah daripada segi perlembagaan untuk menjaga, menguruskan pentadbiran dan juga operasi angkatan tentera,” ujarnya.

Beliau yang dihubungi BuletinTV3 memberitahu, skim perkhidmatan seorang anggota tentera ditentukan oleh MAT, termasuk tempoh berkhidmat yang bergantung pada ketetetapan ditentukan MAT.

Justeru perkara yang perlu diberi lebih perhatian oleh kerajaan adalah perkhidmatan seseorang anggota tentera apabila mereka menamatkan perkhidmatan dalam usia aktif.

Tambahnya ia juga perlu dilihat sama ada mereka menerima pencen atau tidak selepas menamatkan perkhidmatan dan jika mereka menerima pencen, berapa banyak akan diberikan.

Malah apabila mereka meninggal dunia ketika menerima pencen, berapakah pencen yang layak pula diterima keluarga, dan dalam masa berapa lama?

Dalam pada itu, beliau berkata masalah pencen anggota tentera turut timbul daripada permasalahan ekonomi anggota terbabit selepas menamatkan perkhidmatan.

Hal ini kerana anggota tentera yang menamatkan perkhidmatan tanpa pencen, iaitu mereka yang berkhidmat dibawah tempoh 21 tahun, mereka tidak layak menerima pencen sebaliknya pencen hanya akan dibayar kepada anggota yang berkhidmat melebihi tempoh tersebut.

“Setiap tahun sebanyak 5000 hingga 6500 anggota menamatkan perkhidmatan, dan lebih 75% anggota yang menamatkan perkhidmatan adalah anggota lain pangkat yakni mereka selain daripada pegawai atau leftenan ke bawah,” ujarnya lagi.

Zakariah berkata  setiap anggota tentera telah dilatih dalam tempoh masa panjang dan jika skim perkhidmatan ini ingin dikaji, maka ia perlu diteliti untuk terus bersambung dan boleh diterima masuk dalam perkhidmatan awam lain secara kontrak ataupun secara tetap tetapi tidak berpencen bagi yang telah menerima wang persaraan.

Terdahulu Perdana Menteri mengumumkan buat julung kalinya, Kerajaan Perpaduan akan memasukkan kumpulan veteran tentera serta veteran tentera tidak berpencen ke dalam penilaian semula Skim Perkhidmatan tersebut.

Ia sebagai langkah jangka panjang yang diambil bagi menjamin kelangsungan hidup dan kebajikan warga veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Loading...
Terkini