comscore
Tumpuan :
Nasional

Perhilitan tangkap beruang matahari jantan di Tanah Merah

Beruang matahari jantan yang ditangkap di Kampung Air Asahan Hulu, Tanah Merah hari ini. – FOTO: Ihsan Perhilitan Daerah Jeli.

TANAH MERAH: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan menangkap seekor beruang matahari jantan di Kampung Air Asahan Hulu, di sini hari ini.

Pengarahnya, Mohamad Hafid Rohani berkata tangkapan dilakukan susulan aduan diterima pihaknya pada Rabu lalu mengenai haiwan berkenaan yang berkeliaran di sekitar kebun-kebun di kampung itu.

Katanya, anggota dari Pejabat Perhilitan Daerah Jeli sudah ke lokasi aduan dan memasang satu unit perangkap.

Seekor beruang matahari jantan masuk perangkap itu pada hari ini.

“Dengan kejayaan tangkapan beruang ini sedikit sebanyak akan melegakan penduduk setempat selain dapat mengelakkan kerugian berterusan yang dialami penduduk akibat kemusnahan hasil pertanian serta harta benda akibat konflik berkenaan beruang ini,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.

Menurut Mohamad Hafid, ini adalah beruang kedua yang ditangkap di lokasi yang sama selepas seekor beruang matahari betina ditangkap pada Selasa lalu.

Mohamad Hafid berkata operasi pemindahan dan pelepasan semula beruang matahari ini ke habitat yang lebih sesuai dan selamat akan dilakukan dalam masa terdekat oleh kakitangan Pejabat Perhilitan Daerah Jeli.

Beliau berkata bagi mengurangkan kes konflik membabitkan beruang, penduduk khususnya pekebun dinasihatkan supaya mengambil langkah mitigasi seperti sentiasa berteman semasa ke kebun, tidak memasuki kawasan kebun pada waktu malam, membersihkan kebun serta memasang lampu di sekeliling rumah pada waktu malam.

“Pada masa sama, pihak kami juga ingin memaklumkan bahawa tangkapan dan pemindahan beruang yang menganggu bukanlah penyelesaian jangka panjang berikutan kawasan ini adalah berhampiran dengan kawasan Hutan Simpan (HS) Air Satan yang menjadi habitat asal hidupan liar berkenaan.”

“Orang ramai juga disaran lebih berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh mendatangkan risiko keselamatan kepada diri sendiri,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini