HOME / Nasional

Perkhidmatan Bas Rapid Kamunting Berakhir 15 Jun 2021

Anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Rapid Bus Sdn. Bhd yang mengendalikan perkhidmatan bas Rapid Kamunting di Perak mengumumkan akan menamatkan perkhidmatan berkenaan pada 15 Jun 2021 selepas beroperasi selama lebih lima tahun.

Memulakan operasi pada Mac 2016, Rapid Kamunting, yang merupakan satu inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) oleh Kerajaan melalui kerjasama dengan Lembaga Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Majlis Perbandaran Taiping dan Prasarana, menyediakan perkhidmatan di tiga laluan – Laluan 10 (Taiping Loop), Laluan 20 (Jejak Warisan Loop) dan Laluan 30 (Bukit Jana – Kg Boyan).

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, Rapid Bus berkata, langkah berkenaan diambil kerana kekangan dana dan permintaan rendah bagi perkhidmatan bas sejak awal perkhidmatannya. Rapid Kamunting diadakan sebagai usaha memangkinkan pertumbuhan ekonomi, kesalinghubungan dan kemudahan rakyat serta penduduk setempat.

“Sokongan dan dana daripada NCIA telah tamat pada Februari 2019. Selepas penamatan pemberian dana dan kontrak tersebut, pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri tidak lagi menyatakan minat untuk meneruskan perkhidmatan Rapid Kamunting. Namun begitu, Rapid Bus telah meneruskan perkhidmatan atas komitmennya untuk menyediakan kemudahan pengangkutan awam walaupun terus mengalami kerugian.

“Seperti juga syarikat-syarikat pengangkutan awam lain, Rapid Kamunting tidak terkecuali daripada kesan impak Covid-19. Ini dapat dilihat melalui kemerosotan jumlah penumpang kepada 30 peratus sahaja. Rentetan daripada keadaan yang semakin meruncing tersebut operasi Rapid Kamunting berhadapan dengan cabaran yang getir untuk menampung kos pengoperasian.

“Rapid Bus memohon maaf daripada pelanggan-pelanggan setia Rapid Kamunting di sekitar Taiping dan Kamunting kerana terpaksa mengundur diri. Ia bukanlah satu keputusan yang mudah dan telah dibincangkan pada peringkat tertinggi bersama kesemua pemegang berkepentingan kami.

“Kami juga ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih di atas sokongan semua pelanggan kami dan juga atas sumbangan kakitangan Rapid Kamunting selama ini.

“Sebagai satu entiti pengoperasian, Rapid Bus menyedari akan tugasnya untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang selamat, boleh dipercayai dan selesa kepada rakyat. Kami juga menyedari bahawa untuk memastikan sesuatu perkhidmatan yang disediakan itu adalah mapan dan lestari ia perlu menjanakan pendapatan yang mencukupi demi kesinambungan perkhidmatan,” tambah kenyataan itu.