comscore
Tumpuan :
Nasional

Permintaan tenaga kerja asing 3 sektor tidak lebih 30,000 orang

Sivakumar (tengah) meninjau premis tiga sektor membabitkan kedai gunting rambut, tekstil dan kedai emas sekitar Little India, Jalan Tengku Kelana, Klang. – Foto: NSTP

KLANG: Jumlah permintaan pekerja asing bagi tiga sektor yang membabitkan tekstil, kedai gunting rambut dan kedai emas setakat ini tidak melebihi 30,000 orang.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar bagaimanapun, berkata jumlah sebenar pengambilan pekerja asing akan dimuktamadkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat ini.

Beliau berkata, semua maklumat terperinci berhubung perkara berkenaan akan dimaklumkan kepada umum selepas mesyuarat itu.

“Perkara ini perlu dibawa ke Kabinet untuk mendapatkan persetujuan Jemaah Menteri dan saya berjanji akan menyelesaikan masalah ini dalam tempoh terdekat,” katanya kepada media selepas meninjau premis perniagaan di Little India, Jalan Tengku Kelana di sini, petang semalam.

Pada masa sama, Sivakumar turut memberi jaminan, permohonan bagi mendapatkan pekerja asing tidak disalahgunakan dan diberikan mengikut keperluan.

“Tujuan kita adalah menyelamatkan ketiga-tiga sektor, jadi kita akan membantu menyelesaikan masalah mengikut keperluan.

“Kita tidak mahu ada pula pihak sengaja mengambil kesempatan dengan menyalahgunakannya,” katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan meluluskan sebahagian permohonan pengambilan pekerja asing bagi tiga sektor itu yang dibekukan sebelum ini.

Bagaimanapun, Anwar meletakkan syarat agar golongan belia tempatan diberikan latihan bagi mengisi keperluan tenaga kerja membabitkan tiga sektor berkenaan.

Loading...
Terkini