comscore
Tumpuan :
Nasional

Permohonan, kelulusan kuota pekerja asing ditangguh

 

Foto hiasan

PUTRAJAYA: Bermula hari ini, permohonan dan kelulusan kuota pekerja asing termasuk melalui Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing (PKPPA) ditangguhkan sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Menteri Sumber Manusia, yang mengumumkan perkara itu berkata, keputusan itu dibuat, selepas sebanyak 995,396 kuota penggajian pekerja asing daripada pelbagai sektor diluluskan kementeriannya setakat Selasa lalu (14 Mac).

Beliau berkata, jumlah kelulusan kuota itu mengambil kira permohonan kuota pekerja asing yang diproses secara biasa dan menerusi PKPPA, merangkumi lima sektor kritikal iaitu perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan (restoran saja).

“Kelulusan kuota pekerja asing setakat ini, dijangka dapat memenuhi keperluan guna tenaga asing oleh industri termasuk di sektor kritikal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata, penangguhan dibuat bagi memastikan bahawa majikan yang diberikan kelulusan kuota, untuk mula membuat perancangan bagi kemasukan segera pekerja asing yang diperlukan.

“Saya menggesa semua majikan yang telah diluluskan kuota pekerja asing untuk menyegerakan proses kemasukan pekerja dalam tempoh masa ini.

“Tambahan pula, jumlah kemasukan pekerja asing masih rendah, berbanding jumlah kuota yang telah diluluskan oleh KSM,” katanya.

Sebelum ini, KSM dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri melaksanakan PKPPA bermula 17 Januari sehingga 31 Mac ini untuk menyegerakan kelulusan permohonan kuota pekerja asing di lima sektor kritikal iaitu perladangan, perkilangan, pembinaan, pertanian dan perkhidmatan (restoran). — HARIAN METRO

Loading...
Terkini