comscore
Tumpuan :
Nasional

Pernah hilang pekerjaan, anak muda terima Prince’s Trust Sustainability Award for Asia 2022

KUALA LUMPUR: Penyelaras Biodiversiti dan Pemulihan, Pusat Pemuliharaan dan Penyelidikan Hutan Hujan Tropika (TRCRC) Banun, Perak dipilih menerima Prince’s Trust Sustainability Award for Asia 2022 oleh Prince’s Trust International (PTI) iaitu organisasi global yang diasaskan oleh Raja Charles III.

Hairul Mafahir Abdullah, 26 tahun, menerima anugerah yang pertama kali diperkenalkan itu bagi mengiktiraf pembabitan dan perkembangan golongan belia yang cemerlang dalam program PTI di seluruh dunia.

Anak kedua daripada enam beradik itu berkata, dia bersyukur mendapat pengiktirafan anugerah daripada pertubuhan yang diasaskan sejak tahun 2015 bagi menyokong golongan belia seluruh dunia menangani krisis global pengangguran.

Dia yang sebelum ini bertugas sebagai juruteknik kejuruteraan selama dua tahun, tidak menyangka COVID-19 menyebabkan dia kehilangan pekerjaan pada tahun 2020.

Katanya, merasakan diri perlu berubah mencari pekerjaan yang mempunyai matlamat, dia kemudian menemui Program TEAM anjuran Selangor Youth Community (SAY) yang dilaksanakan bagi menyokong belia Malaysia menerusi modul perkembangan peribadi dan professional.

“Saya menyertai Program TEAM selama sembilan minggu dan mempelajari pelbagai perkara termasuk kepemimpinan, kewangan, persediaan pekerjaan dan pelbagai lagi.

“Saya kemudian ditempatkan di TRCRC Shah Alam selama dua minggu sebagai latihan pekerjaan dan terus ditawarkan pekerjaan sebagai penolong penyelidik selepas tamat Program TEAM ,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penganugerahan Prince’s Trust Sustainability Award for Asia di sini, hari ini.

Penyampaian anugerah itu disempurnakan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Hairul berkata, walaupun sebelum itu dia diuji dengan kehilangan pekerjaan selama beberapa bulan, dia menjadikannya sebagai pembakar semangat untuk terus berjaya.

“Kini sebagai Penyelaras Biodiversiti dan Pemulihan TRCRC sejak lebih setahun lalu, saya banyak meluangkan masa bekerja di hutan, menjaga anak pokok asli dan memantau hidupan liar.

“Pekerjaan ini membuatkan saya menemui tujuan hidup yang lebih bermakna apabila mampu memberi tumpuan bukan sahaja kepada diri tetapi juga masyarakat sekeliling serta alam semulajadi.

“Saya percaya anugerah yang diterima ini hanyalah permulaan untuk mencapai tahap yang lebih tinggi selepas ini,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Program Team, Aiman Nazri, berkata prestasi baik yang ditunjukkan secara berterusan membolehkan Hairul menerima anugerah itu.

Katanya, pihaknya memilih tiga peserta yang layak sebagai pencalonan untuk anugerah itu, begitu juga negara lain seperti India dan Pakistan yang turut menghantar pencalonan mereka.

“Bagaimanapun, PTI memilih Hairul selepas melihat sendiri prestasi yang ditunjukkan olehnya yang bukan sahaja mampu memberi impak kepada diri sendiri, tetapi juga kepada keluarga, kawasan setempat selain berjaya membantu ramai penduduk Orang Asli mendapatkan pekerjaan,” katanya.

Loading...
Terkini