comscore
Tumpuan :
Nasional

Persatuan Ulama Malaysia minta kerajaan gesa negara Arab tolak normalisasi dengan Israel

PETALING JAYA : Persatuan Ulama Malaysia (PUM) meminta kerajaan menggesa negara-negara Arab dan negara Islam supaya menolak sebarang usaha menormalisasi hubungan dengan Israel dan terus memperkasakan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin bagi menuntut sebuah negara Palestin yang merdeka.

Ia antara 10 resolusi Seminar Konflik Palestin Israel anjuran PUM, hari ini.

PUM dalam satu kenyataan, mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan Israel yang sentiasa melanggar undang-undang antarabangsa sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak di Gaza.

“PUM juga mengambil ketetapan menggesa kerajaan Malaysia memainkan peranan utama dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) supaya dapat menggerakkan pertubuhan ini secara proaktif ke arah penyelesaian konflik berdarah di Palestin.

“Selain itu, mendesak Israel supaya menghentikan serangan tidak bertamadun ke atas penduduk Gaza dan melakukan gencatan senjata dengan kadar segera supaya tindakan ke arah perdamaian dapat diambil serta menggesa masyarakat antarabangsa dan kuasa besar dunia menghentikan segala bentuk sokongan terhadap keganasan Israel dan mengambil sepenuhnya tanggungjawab menyelesaikan konflik berdarah itu,” katanya.

PUM turut menggesa semua negara Arab khususnya empat negara bersempadan dengan Palestin iaitu Jordan, Mesir, Lubnan, Syria bersatu dan bekerjasama secara kolektif dan efektif dalam membantu membangun semula Palestin dalam semua aspek.

“PUM menuntut Israel dan negara berkepentingan memberi kebenaran sepenuhnya kepada pihak luar menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada masyarakat Gaza di Palestin,” katanya.

PUM juga menawarkan diri untuk bekerjasama dengan pihak kerajaan dalam meningkatkan kesedaran dan mendidik masyarakat mengenai konflik Israel-Palestin dan keperluan penyelesaian secara aman.

“Kita menyokong sepenuhnya fatwa hukum Syara’ yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Ijtihad dan Fatwa Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia yang mewajibkan campur tangan tentera dalam kalangan negara Islam khususnya sebagai tentera pendamai di Semenanjung Gaza, Palestin,” katanya.

Loading...
Terkini