comscore
Tumpuan :
Nasional

Persembahan artis luar: Tiada peruntukan kerajaan untuk hak eksklusif penganjur konsert

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak memperuntukkan sebarang dana kepada penganjur konsert untuk mendapatkan hak eksklusif bagi membawa artis luar negara membuat persembahan di Malaysia.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, namun sekiranya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berhasrat melakukan inisiatif berkenaan, itu terpulang kepada pihak berkenaan dan tertakluk keputusan Jemaah Menteri.

“Saya lihat pada waktu ini Kementerian Komunikasi tidak menyediakan dana tersebut.

“Tapi sekiranya MOTAC berhasrat melakukan itu tertakluk kepada mereka dan jemaah menteri. Namun saya ambil maklum dan akan bincang dengan menteri Motac,” katanya pada sidang media Kod Etika Wartawan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai adakah kerajaan mempunyai hasrat mengikuti langkah kerajaan Singapura yang membayar sekitar RM9.56 hingga RM14.34 juta bagi membeli hak eksklusif konsert Taylor Swift dalam usaha yang dilihat dapat membantu sektor pelancongan.

Tambah Fahmi, kebanyakan pemganjuran konsert adalah acara antara syarikat swasta yang menandatangani kontrak perjanjian hak eksklusif untuk membawa masuk artis luar.

“Pada tahun lalu konsert kumpulan Muse, penganjur dah black out the rest of Asia (untuk penganjuran konsert) dan hanya membuat persembahan di Kuala Lumpur.

“Itu tanpa dana kerajaan dan diusahakan oleh penganjur itu sendiri senagai satu tarikan dan promosi,” katanya.

Beliau berkata, kementeriannya lebih melihat kepada memudahkan proses untuk permohonan konsert contoh di bawah Agensi Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL).

“Yang pada waktu ini kita terima aduan mengambil masa yang lama untuk pengesahan dan kebenaran. Jadi saya lihat dalam bidang kuasa kementerian saya akan lihat apa yang boleh untuk mengurangkan tempoh masa itu.

“Sekirannya proses dapat dipermudah , itu juga akan menjadi satu daya tarikan kepada penganjur-penganjur, kerana kebiasaannya ia bukan urusan artis dengan kerajaan tapi dengan penganjur,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini