comscore
Tumpuan :
Nasional

Pertarungan Musk-Zuckerberg bakal distrim secara langsung di ‘X’

NEW YORK: Elon Musk mengumumkan ‘perlawanan’ antara beliau dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Meta, Mark Zuckerberg, akan disiarkan melalui penstriman secara langsung dalam platform media sosial, X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter) yang dimilikinya.

Kedua-dua usahawan gergasi teknologi dan media sosial itu saling berbalas kenyataan sejak Jun lalu untuk bertarung dalam sangkar seni mempertahankan diri campuran (MMA) di Las Vegas.

“Perlawanan Zuck v Musk akan disiarkan menerusi penstriman langsung dalam X. Semua hasil diperoleh akan disalurkan sebagai sumbangan amal untuk veteran,” kata Musk dalam hantaran melalui X, awal pagi semalam, tanpa memberikan butiran lanjut.

Zuckerberg dalam kenyataan balas semalam melalui aplikasi media sosial, Threads yang dimilikinya pula berkata: “Saya bersedia hari ini. Saya telah mencadangkan tarikh 26 Ogos ketika beliau mula-mula menyuarakan cabaran, namun beliau belum memberikan pengesahan.

”Malah, Zuckerberg turut mencadangkan supaya mereka menggunakan ‘platform lebih boleh dipercayai’ yang dapat mengutip sumbangan wang untuk tujuan amal.

Terdahulu semalam, Musk memaklumkan dalam X bahawa dirinya ‘mengangkat berat sepanjang hari sebagai persediaan menghadapi pertarungan itu’, sambil menjelaskan beliau membawa peralatan sukan terbabit ke tempat kerja kerana tiada masa untuk bersenam.

Ditanya seorang pengguna X mengenai tujuan perlawanan itu, Musk menjawab: “Ia adalah satu bentuk peperangan bertamadun. Lelaki suka peperangan.

”Segala itu bermula apabila Musk, 52, dalam hantaran melalui media sosial pada 20 Jun lalu berkata, beliau ‘bersedia untuk mengadakan pertarungan sangkar’ dengan Zuckerberg yang terlatih dalam seni mempertahankan diri jujitsu.

Pada keesokannya, Zuckerberg, 39, yang berkongsi gambar perlawanan pernah dimenangi beliau, dalam platform Instagram syarikatnya, meminta Musk ‘menghantar lokasi’ bagi pertarungan dicadangkan itu.

Musk kemudian menjawab: “Vegas Octagon” yang merujuk kepada sebuah pusat acara di mana berlangsungnya perlawanan kejohanan MMA.

Beliau turut memaklumkan akan mula berlatih sekiranya cadangan perlawanan itu menjadi kenyataan. – REUTERS

Loading...
Terkini