comscore
Tumpuan :
Nasional

Peruntukan RM750 juta untuk bantu 130,000 golongan termiskin, cukup – Rafizi

Rafizi Ramli. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Jumlah RM750 juta yang diperuntukkan kepada Kementerian Ekonomi tahun ini bagi membantu 130,000 golongan termiskin menerusi program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) disifatkan mencukupi.

Menterinya, Mohd Rafizi Ramli berkata, ini kerana kerajaan mengambil pendekatan berbeza bagi menguruskan peruntukan itu dengan pemberian bantuan dan kemudahan kepada peserta tidak dibuat secara sekali gus, tetapi secara bulanan.

“… Jadi pendekatan kita ialah, daripada kita ambil 100,000 (peserta) dan bagi terus (bantuan) RM20,000 ke RM30,000 sekali gus, lebih baik bayar (beri bantuan) kepada mereka setiap bulan.

“Jadi mereka perlu berada dalam acuan itu dalam tempoh 24 bulan,” katanya pada program Naratif Khas dengan topik IPR yang disiarkan di RTM, malam tadi.

Pada 24 Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2023 berkata, kerajaan akan melaksanakan IPR dengan peruntukan sejumlah RM750 juta kepada Kementerian Ekonomi bagi menjayakan bantuan berkenaan.

Program itu menyasarkan peserta meraih pendapatan antara RM2,000 hingga RM2,500 sebulan dalam tempoh pemantauan 24 bulan dan selepas itu dapat menjana pendapatan sendiri melalui hasil yang diperoleh.

Menerusi program itu, peserta boleh membuat permohonan IPR yang terdiri daripada kategori Inisiatif Usahawan Tani (INTAN), Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN).

Dalam pada itu, Rafizi berkata, bantuan dan kemudahan daripada peruntukan itu akan diberikan kepada peserta bergantung kepada skim kategori pilihan mereka yang telah diluluskan.

“Kalau INSAN mereka akan diberikan mesin layan diri di tempat yang dipilih…maksudnya mereka menerima sewaan bulanan yang dibayar terus kepada penyedia mesin layan diri antara RM600 hingga RM800 bergantung kepada jenis mesin, dalam tempoh dua tahun.

“Bagi INTAN pula akan membabitkan kerajaan mengenal pasti tanah, kemudiannya kerajaan kena sediakan kemudahan bersih tanah dan kemudahan fertigasi, baja secara cecair, serta segala kelengkapan yang ada.

“Kalau IKHSAN, kita bagi ‘top up’ (tambahan) kepada mereka.

Contohnya individu yang menjaga tandas awam, kutipan hasil selama ini kadang-kadang hanya dapat RM1,000 atau RM800. Jadi kita akan tambah (pendapatan) setiap bulan itu kepada RM2,000 selama 24 bulan,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini