comscore
Tumpuan :
Nasional

Pesakit untut kronik tak sempat jalani pembedahan

Mohd Zulkifli Zainal mengidap penyakit untut atau Lymphoedema kronik yang memerlukan RM75,000 untuk pembedahan. FOTO: NSTP

KUANTAN: “Impian arwah untuk menjalani pembedahan penyakit untut (Lymphoedema) kronik pada kaki kanannya yang sepatutnya dilakukan awal bulan depan tidak menjadi kenyataan,” kata Nurul Shada Masri.

Dia merupakan isteri kepada Mohd Zulkifli Zainal, 40 yang meninggal dunia semalam di Kuala Teh, Jerantut selepas menderita penyakit berkenaan selama enam tahun menyebabkan kaki kanannya membesar seberat 60 kilogram (kg).

“Petang semalam keadaan arwah terlalu lemah hingga tak mampu bangun. Arwah juga mengadu badannya tidak selesa hingga menyebabkan dia sesak nafas dan akhirnya meninggal dunia pada kira-kira jam 3.50 petang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Nurul Shada, 37, berkata sejak mengalami penyakit itu, suaminya kerap demam tetapi tidak sehingga tahap membimbangkan kerana kebiasaan selepas mengambil ubat, demam Mohd Zulkifli akan mula kebah.

Nurul Shada berkata arwah sepatutnya menjalani pembedahan pada 1 Julai depan di hospital swasta di Kuala Lumpur bagi membuang daging yang tumbuh secara tidak normal pada kaki kanannya.

Katanya, sejak mengetahui tarikh dia akan menjalani pembedahan, arwah kelihatan amat teruja serta telah melakukan semua persiapan fizikal dan mental.

“Pelbagai usaha dilakukan arwah suami untuk mengumpul perbelanjaan sebanyak RM75,000 yang diperlukan untuk pembedahan, sumbangan diterima daripada kerajaan negeri dan individu yang prihatin.”

“Sebanyak RM30,000 telah dibayar kepada pihak hospital swasta, selebihnya disediakan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) yang telah berurusan dengan pihak hospital terbabit,” katanya.

Arwah ketika hayatnya berkata penyakit dialaminya berpunca daripada sejenis kuman yang terdapat di dalam sungai.

Arwah yang bertugas di Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub meninggalkan seorang balu dan seorang anak lelaki usia 15 tahun.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuala Teh, selepas Isyak semalam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini