comscore
Tumpuan :
Nasional

Pihak telco masih ada masa kemuka cadangan, buat keputusan – Gobind

Menteri Digital, Gobind Singh Deo (dua kiri) menunjukkan alat StarSentry pada majlis pelancaran Penyelesaian Keselamatan Siber StarSentry LGMS ‘Buatan Malaysia’ bagi menyokong Rang Undang-undang Keselamatan Siber Negara dan inisiatif ‘Keselamatan Siber untuk Rakyat’ di M Resort and Hotel Kuala Lumpur di Kuala Lumpur hari ini. FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Pihak syarikat telekomunikasi (telco) masih mempunyai masa untuk mengemukakan cadangan dan seterusnya memuktamadkan proses pegangan ekuiti dalam syarikat milik kerajaan, Digital Nasional Berhad (DNB) yang menjadi prasyarat sekiranya ingin terbabit dalam rangkaian kedua 5G.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata ketika ini, tempoh 21 hari yang ditetapkan itu masih belum berakhir dan pihak telco masih mempunyai masa untuk memuktamadkan keputusan mereka.

“Masa telah pun diberikan iaitu dalam tempoh 21 hari. (Difahamkan) mereka (pihak telco) dalam proses mengkaji laporan ‘due-diligence’ (penilaian wajar) yang telah diserahkan kepada pihak yang terbabit. Mereka dalam proses mengkaji laporan berkenaan.”

“Ini penting dalam (proses) untuk pihak telco membuat keputusan, ia mesti berdasarkan kepada laporan. Selesai mengkaji laporan itu, mereka akan kembali kepada kita (pihak kementerian) dengan cadangan,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Penyelesaian Keselamatan Siber Buatan Malaysia, ‘StarSentry’ keluaran LGMS Berhad di M Resort and Hotel Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia (CSM), Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab; Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Syed Ibrahim Syed Noh; Pengerusi Eksekutif LGMS, Fong Choong Fook dan Duta Besar Jepun ke Malaysia, Katsuhiko Takahashi.

Mengulas lanjut mengenai perkembangan proses itu, Gobind berkata memandangkan tempoh untuk pihak telco membuat keputusan masih belum tamat, pihaknya ketika ini masih dalam fasa ‘tunggu dan lihat’.

“Ya, seperti mana disebut Fahmi Fadzil (Menteri Komunikasi) mereka diperuntukkan masa (untuk buat keputusan). Jadi kita tunggu sahaja. Apa pun, keputusan kerajaan untuk meneruskan rangkaian kedua 5G akan diteruskan, tetapi buat masa ini kita masih menunggu pihak telco kembali dengan cadangan dan sebagainya,” katanya.

Sebelum ini, Fahmi berkata, pihak telco diberi tempoh 20 hari untuk memuktamad dan melengkapkan proses pegangan ekuiti dalam syarikat DNB.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat pertama Lembaga Pengarah DNB pada 20 Mei lalu dengan setiap wakil daripada lima syarikat terbabit, diwakili seorang ahli lembaga pengarah perlu membuat beberapa keputusan.

Tambahnya, selepas tempoh itu, baharu perkara berkaitan pegangan ekuiti dalam DNB membabitkan telco berkenaan dapat dimuktamadkan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini