comscore
Tumpuan :
Artikel

PM Gesa Malaysia – Jepun Teroka Kerjasama Baharu

Oleh: Khairul Rizuan Azizan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa Malaysia dan Jepun meneroka kerjasama baharu berkaitan Inisiatif Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) melalui projek yang dilaksanakan di bawah Dasar Pandang ke Timur.

Ia termasuk mempelbagaikan kerjasama dalam bidang krisis bencana, masyarakat menua, ekonomi digital, sains, teknologi dan inovasi serta pertumbuhan hijau.

Perkara itu dimaklumkan menerusi teks yang dibacakan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sempena Majlis Pembukaan Seminar Perniagaan Ulang Tahun Ke-40 Dasar Pandang ke Timur di Ibu negara pagi tadi yang turut dihadiri Timbalan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun, Iwata Kazuchika.

“Pelaksanaan Dasar Pandang ke Timur menitik berat limpahan faedah yang seimbang kepada kedua negara termasuk melalui keupayaan Malaysia meningkat kerjasama dalam pembangunan industri halal dengan Jepun. Malaysia sebagai pelopor dalam industri halal global pastinya dapat membantu Jepun yang mempunyai minat yang tinggi membangunkan industri halal”, katanya.

Menerusi Laporan Risiko Global Forum Ekonomi Dunia, isu seperti perubahan iklim, kesan sosial populasi yang semakin menua dan polarisasi sosial selepas pandemik COVID-19 dijangka memberi kesan serius terhadap ekonomi dan mata pencarian kebanyakan negara dunia dalam tempoh sepuluh tahun akan datang.

Bersempena 65 tahun hubungan diplomatik dua hala Malaysia dan Jepun ianya dianggap istimewa sebagai suatu peralihan daripada pemodenan yang berpaksikan barat, kepada meneladani nilai-nilai timur khususnya negara Jepun.

Loading...
Terkini