comscore
Tumpuan :
Sukan

Latif buru keyakinan di Kobe sebelum ke Paris

Latif dalam proses pemulihan kecederaan pangkal peha. – Foto fail

KUALA LUMPUR: Masih dalam proses pemulihan kecederaan pangkal pehanya, atlet olahraga para negara, Datuk Abdul Latif Romly ingin menjadikan pentas Kejohanan Dunia di Kobe, Jepun yang akan berlangsung pada 17 hingga 15 Mei depan sebagai platform untuk dirinya mendapatkan keyakinan lebih tinggi sebelum ke Sukan Paralimpik Paris nanti.

Atlet berusia 27 tahun itu meletakkan sasaran peribadi di Kejohanan Dunia itu agar dia pulang dengan motivasi lebih tinggi.

Katanya lagi, dia kini semakin pulih dari kecederaan pangkal paha dan sudah pasti ingin mendapatkan keyakinan lebih tinggi selain kejohanan itu juga adalah yang pertama berprestij untuk dirinya tahun ini sekali gus medan terbaik menguji kemampuannya.

“Untuk Kejohanan Dunia di Kobe, Jepun nanti (bulan depan) ia adalah pentas terbesar bagi saya pada tahun ini dan sudah pasti ini peluang terbaik untuk saya menilai prestasi sebenar sebelum ke Paris (Sukan Paralimpik) pada September.

“Sebab itu saya sasarkan untuk melakukan lompatan sekitar 7.5 meter (m) atau lebih 7.6m. Jika dapat cipta jarak ini dan pulang dengan pingat emas, mesti saya sangat yakin di Paris nanti.

“Pada masa sama, ketika ini saya masih dalam usaha mendapatkan balik otot-otot yang hilang, kerana sepanjang pemulihan, saya kehilangan kira-kira 2 kilogram otot.

“Jurulatih gimnasium beritahu sempat untuk saya membentuk semula otot-otot itu untuk Kejohanan Dunia dan juga Paralimpik Paris,” katanya.

Untuk makluman, dia adalah pemegang rekod dunia dengan lompatan sejauh 7.64m yang dilakukan pada Sukan Para Asia 2018 di Indonesia.

Selain itu, Latif kini dalam landasan tepat untuk memburu kejayaan hatrik di Sukan Paralimpik Paris 2024 selepas dia berjaya mendapatkan dua pingat emas sebelum ini di Rio, Brazil 2016 dan Tokyo, Jepun 2020 bagi acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran).

Atlet kelahiran Perlis itu juga berjaya memenangi pingat emas di empat Kejohanan Dunia iaitu pada edisi 2015 (Doha), 2017 (London), 2019 (Dubai) dan 2023 di Paris.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini