comscore
Tumpuan :
Nasional

PM tawar Acryl Sani peranan di luar negara – Saifuddin Nasution

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika sidang media pada Majlis Serah Tugas Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pulapor Kuala Lumpur. Foto NSTP/ASWADI ALIAS

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menawarkan satu peranan di luar negara kepada Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani selepas persaraannya sebagai Ketua Polis Negara. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika mendedahkan perkara itu berkata hasrat Perdana Menteri itu disampaikan kepada Acryl Sani ketika pertemuan mereka baru-baru ini. “Beberapa minggu lalu, hari Jumaat, saya dan KSU (Ketua Setiausaha) diminta mengadap Perdana Menteri dan selepas mesyuarat, saya dan KSU lebih awal tinggal mesyuarat. Tan Sri (Acryl Sani) dan PM teruskan berbincang. Saya diberitahu bahawa PM bertanyakan pelan persaraan Tan Sri (Acryl Sani). Sebenarnya kecenderungan PM untuk memposisikan beliau bagi satu peranan di luar negara.

Tetapi Tan Sri (Acryl Sani) dia ingat cucu dia, keluarga dia, dia ingat jemaah masjid dia,” katanya ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur di sini, hari ini. Tanpa menjelaskan bentuk peranan di luar negara yang ditawarkan Perdana Menteri, Saifuddin Nasution berkata beliau memaklumkan kepada Acryl Sani bahawa selama 30 tahun mengenali Anwar, beliau bukan seorang yang mudah memberikan tawaran sedemikian.

Terdahulu, Acryl Sani dalam ucapannya, berkata tiada apa yang pelik apabila beliau perlu menamatkan tugas sebagai Ketua Polis Negara lebih awal dari tarikh asal iaitu pada 3 Oktober ini. “Ketika saya menyatakan hasrat bersara pada 3 Oktober ini, Perdana Menteri dengan prihatinnya menawarkan perancangan lepas saya bersara dan saya tidak jangkakan budi baik yang dipanjangkan kepada saya itu. Mungkin ada yang rasa pelik dengan perkara ini namun tiada apa yang janggalnya dalam peralihan kuasa. Situasi memaksa saya memendekkan tempoh perkhidmatan untuk memenuhi keperluan tugas di luar,” katanya.

Terdahulu, berlangsung majlis serah terima tugas Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim PULAPOL di sini, disaksikan Saifuddin Nasution. Pada majlis sama, berlangsung upacara serah terima tugas jawatan Timbalan Ketua Polis Negara di antara Razarudin dengan penyandang baharu, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay. Yang turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ruji Ubi.

Semalam, Saifuddin Nasution mengumumkan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baharu, manakala Ayob Khan yang juga Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, pula dilantik sebagai Timbalannya, berkuat kuasa esok. Pelantikan Razarudin secara kontrak selama dua tahun adalah bagi menggantikan Acryl Sani yang bersara lebih awal. Pelantikan itu mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis. – BERITA HARIAN.

Loading...
Terkini