comscore
Tumpuan :
Nasional

Pokok Sena, Sik, Baling di Kedah alami cuaca panas tahap satu

Foto hiasan

ALOR SETAR: Tiga daerah di Kedah iaitu Pokok Sena, Sik dan Baling mengalami cuaca panas pada tahap satu (berjaga-jaga) sejak semalam.

Ia sekali gus menjadikannya lokasi paling panas di Semenanjung setakat ini.

Pengarah Jabatan Meteorologi Kedah, Muhammad Khalil Abd Aziz berkata, suhu maksimum harian di daerah terbabit ketika ini adalah antara 35 hingga 37 darjah Celsius

Ia berlarutan sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut sejak semalam.

Katanya, keadaan cuaca panas ini dijangka berlarutan hingga hujung Mac atau awal April depan apabila fasa peralihan monsun berlaku.

Susulan itu, beliau menasihatkan aktiviti pembakaran terbuka dielakkan kerana tidak sesuai dilakukan pada musim kering yang menyebabkan haba panas ketika ini.

“Sejak semalam, daerah Pokok Sena, Sik dan Baling menjadi lokasi cuaca paling panas di Semenanjung dengan suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius.

“Disebabkan keadaan itu, kita menasihatkan orang ramai mengelak daripada terdedah dengan cuaca panas bagi menjaga kesihatan, selain elak melakukan pembakaran terbuka,”
katanya ketika dihubungi Berita Harian hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Zulkhairi Mat Tanjil, berkata, sejak awal Januari lalu hingga hari ini, pihaknya menerima panggilan berhubung kes pembakaran terbuka membabitkan hutan, lalang dan belukar di daerah itu.

“Semalam saja kami menerima tiga kes berkaitan pembakaran terbuka di kawasan hutan dan belukar serta api lalang.

“Sejak awal Januari lalu, lima kes kami terima dan ia dipercayai akibat cuaca panas yang melanda ketika ini,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya kini bersedia menghadapi kemungkinan lebih banyak berlaku kes membabitkan pembakaran terbuka ketika cuaca panas pada waktu ini.

Loading...
Terkini