comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Pokok tumbang, gerai peniaga musnah dilanda ribut

Khemah dan peralatan milik peniaga di Laman Pekaka, Kota Damansara yang rosak akibat ribut petang tadi. FOTO NSTP

PETALING JAYA: “Semua khemah peniaga terbang, malah kira-kira empat hingga lima batang pokok tumbang sehingga menghempap kenderaan yang parkir di kawasan itu,” kata Abdul Rahman Abdul Hamid, 43.

Pengerusi Persatuan Peniaga Laman Pekaka itu berkata, kira-kira 20 khemah peniaga rosak dalam kejadian ribut di kawasan gerai di Seksyen 8 Kota Damansara di sini, pada 2.45 petang tadi.

Menurut Abdul Rahman yang juga peniaga bubur ayam, kejadian berlaku sekelip mata menyebabkan peniaga panik dan tidak sempat menyelamatkan barang perniagaan masing-masing.

“Ketika itu hujan renyai sebelum tiba-tiba angin kuat menyebabkan ada meja peniaga dan khemah yang terbalik.

“Saya sempat berpaut pada satu batang khemah tetapi angin terlalu kuat menyebabkan ia patah lalu diterbangkan angin sehingga ke seberang jalan.

“Kami semua berlari menyelamatkan diri ke premis perniagaan berhampiran. Keadaan kembali reda kira-kira tiga minit kemudian,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Susulan kejadian, Abdul Rahman berkata, dia menghubungi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara Muhammad Izuan Ahmad Kasim memaklumkan mengenai kejadian sebelum beliau menghubungi pihak berkuasa untuk menghantar bantuan.

Katanya, pasukan bomba dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) tiba di lokasi serta membantu memotong pokok tumbang serta membersihkan kawasan berkenaan.

Dia yang sudah lebih dua tahun berniaga di kawasan itu menyifatkan ia kejadian terburuk yang pernah berlaku.

“Sebelum ini pernah berlaku angin kencang tapi hanya satu khemah yang terbang tapi kali ini semua khemah peniaga dan peralatan lain rosak dipukul ribut.

“Bagaimanapun, saya bersyukur tiada kemalangan jiwa berlaku,” katanya yang kerugian hampir RM2,000.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada 3.57 petang.

Beliau berkata, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Damansara dengan kekuatan tujuh pegawai serta anggota dikerah ke lokasi.

Katanya, sebatang pokok tumbang menghempap sebuah kereta Honda Civic dan kerja mengalihkan pokok dilakukan pihak bomba.

Loading...
Terkini