comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Polis buru dua suspek kes tembakan rambang di Sibu

 

SIBU: Polis sedang mengesan dua suspek yang terlibat dalam kejadian tembak menyebabkan tiga mangsa cedera di Jalan Wong King Hu, di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata siasatan awal polis  mendapati kedua-dua suspek terlibat menyamar sebagai penghantar makanan dengan menaiki dua buah motosikal berasingan.

Katanya, setiba di lokasi kejadian kedua-dua suspek telah melepaskan tembakan secara rambang ke arah tiga mangsa terbabit yang sedang minum bersama tiga lagi rakan mereka di sebuah kedai kopi di lokasi berkenaan.

“Akibat tembakan itu telah mengakibatkan tiga mangsa telah cedera di bahagian kaki dan bahu manakala tiga lagi saksi yang turut berada di lokasi kejadian tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kesemua mangsa yang berusia 27 hingga 33 tahun kini sedang menerima rawatan di hospital swasta dan dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu di sini hari ini.

Beliau berkata, kes terbabit kini disiasat dibawah seksyen 307 kanun keseksaan atas cubaan membunuh.

Bagaimanapun katanya, identiti kedua-dua  suspek serta nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan masih belum dikenalpasti.

Justeru beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu untuk menyalurkannya kepada pegawai penyiasat kes Inspektor Mingat Bakil ditalian 019-886 7978 atau menghubungi balai polis berhampiran.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini