comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis Sabah rampas makanan sejuk beku RM19.6 juta 

– FOTO: NSTP

KOTA KINABALU: Pelbagai barangan makanan sejuk beku dianggarkan bernilai lebih RM19.6 juta dirampas dalam serbuan ke atas dua gudang di Penampang, dekat sini, Sabtu lalu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Shahurinain Jais berkata, status halal semua produk makanan terbabit juga meragukan dan dipercayai melanggar peraturan-peraturan kebersihan makanan.

Serbuan jam 10 pagi oleh polis bersama pelbagai agensi itu dilakukan selepas premis berkenaan disyaki memiliki produk dan hasil haiwan tanpa lesen yang sah.

“Antara barangan dirampas adalah pelbagai bahagian ayam, ikan, itik, sotong, kambing dan daging lembu.

“Selain itu, pelbagai jenis makanan sejuk beku segera seperti nugget, sosej serta bebola ikan dengan pelbagai jenama,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kepayan, hari ini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Shahurinain Jais menunjukkan gambar rampasan pelbagai makanan sejuk beku di Penampang pada sidang media di IPK Sabah, Kota Kinabalu, hari ini. – FOTO: NSTP

Shahurinain berkata, ketika serbuan, polis turut menjalankan pemeriksaan terhadap 13 individu yang dipercayai pekerja di kedua-dua gudang berkenaan.

Bagaimanapun,  tiada sebarang tangkapan dilakukan dan semua pekerja berkenaan juga tidak mempunyai rekod lampau.

“Pasukan operasi kemudiannya merampas empat lori, lapan trak angkat susun (forklift) dan satu set komputer untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan juga mendapati kedua-dua premis ini beroperasi dengan lesen tamat tempoh sejak Julai lalu,” katanya.

Shahurinain berkata pihaknya percaya semua bahan makanan itu diperolehi daripada Brazil, Sweden, Australia, German dan Poland.

Katanya, semua negara berkenaan tidak mempunyai pengiktirafan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Siasatan juga mendapati terdapat daging tamat tempoh tetapi tidak dilupuskan secara betul, selain berlaku pengubahan logo halal yang disalah guna di kotak bungkusan makanan berkenaan,” katanya.

Shahurinain berkata, semua rampasan itu diserahkan kepada Pegawai Operasi Seksyen Veterinar Sabah untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1) Enakmen Haiwan 2015 Negeri Sabah.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini