comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Polis tahan 12 ejen sindiket pemerdagangan manusia di Kedah

 

ALOR SETAR: Polis menahan 12 individu yang dipercayai terbabit dengan sindiket pemerdagangan manusia dalam serbuan menerusi ‘Op Pintas’ yang dilancarkan sejak 15 Ogos hingga 7 September lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, 12 individu yang dipercayai ejen sindiket itu membabitkan sembilan warga tempatan manakala tiga lagi warga asing.

Katanya, tangkapan yang membabitkan lima sindiket itu dilakukan menerusi dua serbuan di Langkawi dan tiga serbuan di daerah Kubang Pasu.

Dalam lima serbuan berkenaan, polis turut menahan 47 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang masuk ke negara ini tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kesemua PATI terbabit berusia antara 15 hingga 50 tahun yang memasuki negara ini melalui jalan darat dan laut.

“Semua tangkapan yang membabitkan kumpulan sindiket ini tidak mempunyai kaitan, namun modus operandi yang dilakukan mereka adalah sama iaitu dengan menyeludup migran masuk ke negara melalui jalan laut dan darat serta mempunyai hubungan dan kerjasama dengan ejen sindiket di Yangoon, Myanmar.

“Malah semua migran ini dijanjikan peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor ekonomi di negara ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.

Fisol berkata, migran terbabit dikatakan perlu membuat bayaran antara RM5,000 hingga RM7,000 setiap seorang kepada ejen sindiket sebelum dibawa masuk ke negara ini.

Katanya, dalam serbuan di Kubang Pasu, polis menahan dua buah kenderaan di kawasan ladang getah Felda Laka Temin, Bukit Kayu Hitam serta dua lelaki tempatan disyaki ‘transporter’.

Turut ditahan enam lelaki serta tiga wanita disyaki warga Myanmar yang diseludup masuk ke negara ini.

“Susulan daripada itu, pihaknya menahan empat lelaki tempatan disyaki ejen sindiket itu melalui tiga serbuan berasingan di dua rumah di Taman Tunku Sarina dan Taman Kemuning, Kulim serta sebuah bilik hotel di Taman Pekan Jitra.

“Dalam serbuan di sebuah rumah berkenaan, polis merampas sepucuk pistol jenis Revolver 38 bersama enam butir peluru hidup serta 10 butir peluru hidup dalam satu kotak rokok, selain 3,762 pil kuda, 0.49 gram dadah jenis heroin dan syabu seberat 693.08 gram dadah jenis syabu.

“Turut dirampas, alatan menghisap dadah serta wang tunai bernilai RM4,550 serta Thai Bath 1,300,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Fisol berkata pihaknya juga berjaya menumpaskan aktiviti penyeludupan minyak diesel di sekitar kawasan sempadan Kubang Pasu sejak 31 Ogos hingga 8 September lalu.

“Sepanjang tempoh itu, polis berjaya merampas 7,950 liter minyak diesel dianggarkan berjumlah lebih RM17,000 daripada diseludup keluar ke negara jiran dan turuy ditahan ialah tujuh lelaki warga Thailand dan dua lelaki tempatan yang berusia antara 21 hingga 50 tahun.

“Kesemua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tindakan lanjut.” katanya.

Loading...
Terkini