BINTULU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) optimis sasaran peratusan keluar mengundi sebanyak 65 peratus bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak mampu dicapai.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, setakat jam 12 tengahari tadi peratusan keluar mengundi di PRK berkenaan adalah sebanyak 33 peratus.
Katanya, walaupun peratusan itu agak rendah namum pengundi masih mempunyai masa sehingga jam 5.30 petang nanti untuk menunaikan tanggungjawab mereka.
“Saya menyerulah kepada semua pengundi dapat mengundi supaya peratus keluar mengundi untuk DUN Jepak ini sebagaimana yang kita target dapat mencapai ke tahap 65 peratus.

“Kita lihat cuaca pun amat elok dan kita minta juga semua parti-parti yang bertanding galakkanlah kepada mereka-mereka dapat keluar mengundi hari ini,” katanya.
Beliau ditemui selepas melakukan tinjauan di Pusat Mengundi di Sekolah Kebangsaan Bintulu.
Tambah Tan Sri Abdul Ghani, sehingga kini SPR tidak menerima sebarang aduan mengenai insiden berkaitan dengan proses pengundian yang dijalan pada hari ini.
Jelasnya, proses pengiraan undi juga akan dilakukan di semua saluran pusat mengundi terlebih dahulu sebelum kesemua peti undi terbabit dikumpulkan di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Suarah Bintulu.