comscore
Tumpuan :
Nasional

PRK KEMAMAN: Bekas imam tidak lepaskan peluang mengundi sejak 1959

Chukai: “Saya memang suka mengundi dan setiap kali ada pilihan raya, saya akan keluar kerana ini tanggungjawab saya kepada negara.

Mohd Said, 88, Seorang bekas imam dari Kampung Baru Kerteh berkata, dia tidak pernah ketinggalan menunaikan tanggungjawab kepada negara setiap kali pilihan raya sama ada pilihan raya umum atau pilihan raya negeri.

Katanya, dia mula mengundi seawal usia 20-an pada 1959 dan tidak pernah melepaskan peluang untuk mengundi.

“Cuma bezanya, dahulu saya akan keluar mengundi pada waktu tengah hari namun apabila semakin berusia, saya memilih keluar awal.

“Lagi cepat lagi bagus lagipun sekarang ini keadaan cuaca tidak menentu,” katanya.

Mohd menjadi orang pertama tiba di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Kerteh di sini.

Warga emas itu tiba di pekarangan sekolah berkenaan kira-kira jam 7.30 pagi walaupun pusat mengundi hanya dibuka 30 minit kemudian.

Mohd berkata, dia merasa puas apabila dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Mengundi ini tanggungjawab dan saya sendiri sudah pesan pada anak-anak untuk keluar mengundi

“Saya sudah ada pilihan dan harap calon yang dipilih itu menang,” katanya.

Di SK Kerteh, terdapat seramai 2,844 pengundi berdaftar layak membuang undi dengan lima saluran dibuka bagi melancarkan proses berkenaan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini