comscore
Tumpuan :
Nasional

PRK Pelangai: 9 pusat mengundi dibuka bermula 8 pagi

Foto hiasan

BENTONG: Sebanyak sembilan pusat mengundi biasa membabitkan 30 saluran dibuka secara rasmi bermula jam 8 pagi ini bagi membolehkan pengundi berdaftar mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Hari ini adalah hari penentuan calon yang bakal dipilih 16,456 pengundi sebagai wakil rakyat baharu sehingga jam 6 petang, sebelum proses penjumlahan berlangsung di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi iaitu di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul di sini.

PRK Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amizar Abu Adam, calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasni.

Ia diadakan susulan kekosongan luar jangka kerusi DUN itu selepas penyandangnya daripada BN, Datuk Seri Johari Harun meninggal dunia dalam nahas pesawat di Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.

Bagi tiga calon yang bertanding, hanya calon PN yang akan mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Chemomoi, memandangkan calon BN dan Bebas masing-masing pengundi di DUN Ketari, juga dalam Parlimen Bentong.

Sementara itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan peratusan keluar mengundi sehingga 75 peratus ke atas, berbanding 78 peratus sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Keputusan rasmi Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai dijangka diumumkan seawal jam 9 malam.

Cuaca diramal cerah pada sebelah pagi, sementara ribut petir sebelah petang.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini