comscore
Tumpuan :
Nasional

PRK: Polis Johor tubuh pasukan khas pantau isu 3R

MUAR: Polis Johor menubuhkan pasukan khas untuk memantau media sosial penyokong parti politik yang cuba membangkitkan isu ‘3R’ (royal, religious, race) sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata  jika ada penyokong didapati melakukan kesalahan, polis akan mengambil tindakan serta menjalankan siasatan terhadap laporan itu.

Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, sebanyak 11 laporan polis diterima sepanjang PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram sehingga semalam.

Katanya, daripada jumlah itu, satu kertas siasatan dibuka membabitkan kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika kempen di Simpang Jeram pada 26 Ogos lalu.

Selain daripada itu, kebanyakan laporan yang diterima polis adalah membabitkan bahan kempen PRK.

“Daerah Johor Bahru Utara mencatat laporan tertinggi iaitu tujuh, diikuti Johor Bahru Selatan (tiga), Iskandar Puteri (satu).

“Kertas siasatan terhadap Abdul Hadi dibuka mengikut Sekyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya pada sidang media di Dewan Perumahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar.

Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan dengan pegawai dan anggota polis yang berkhidmat sepanjang PRK Simpang Jeram.

Kamarul Zaman berkata, dalam tempoh sama, sebanyak 11 permit ceramah dan 24 permit kempen diluluskan di kedua-dua kawasan.

“Seramai 1,774 anggota dan pegawai terlibat sepanjang kempen dan 3,490 orang pada hari penamaan calon,” katanya.

Loading...
Terkini