comscore
Tumpuan :
Jenayah

Lima lelaki ditahan bantu siasatan kes merusuh

Gambar tangkap layar dari laman sosial Facebook berhubung kejadian merusuh di kawasan bandar raya Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU: Polis Johor menahan lima lelaki bagi membantu siasatan kejadian merusuh di atas sebatang jalan di kawasan bandar raya ini semalam.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata pada 8.43 malam semalam pihaknya menerima laporan polis ekoran sebuah video tular di media sosial Facebook.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 6.30 petang semalam membabitkan seorang lelaki warga tempatan berusia 31 tahun dipukul oleh empat orang lelaki warga tempatan yang tidak dikenali menggunakan tορi keledar.

Kejadian dipercayai berpunca akibat salah faham ketika menaiki motosikal di jalan raya.

Bertindak atas maklumat, pada 12.35 tengah malam tadi polis menahan seramai lima lelaki warga tempatan dan turut membuat rampasan dua topi keledar, tiga helai t-shirt warna merah dan sehelai jaket warna kelabu hitam.

Suspek berusia antara 19 hingga 31 tahun.

Dua daripada suspek mengalami luka di bahagian mata sebelah kanan dan lebam di bahagian kepala.

Menurut Raub, polis masih mengesan seorang lagi suspek berusia 30-an yang turut terlibat dalam kejadian itu.

Kesemua suspek dibenarkan ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosuder Jenayah selama empat hari sehingga Selasa ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih dari lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dalam kenyataan sama, Raub meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi talian hotline IPD Johor Bahru Selatan 07-2182222 atau Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor S. Sivakumaran di talian 019-5127410.

Kejadian berlaku berhampiran Tambak Johor itu tular selepas pengguna jalan raya merakam perbuatan beberapa lelaki memukul mangsa.

Difahamkan kejadian berlaku ketika kumpulan lelaki itu dalam perjalanan pulang dari Singapura ke Johor Bahru.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini