comscore
Tumpuan :
Nasional

PRN 2023: “Jangan eksploitasi, main isu 3R ketika kempen” – Ayob Khan

KUALA LUMPUR : Ahli politik terus diingatkan agar tidak memainkan isu 3R iaitu Agama, Kaum dan Institusi Diraja dalam kempen yang berbaki lima hari lagi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata tindakan tegas akan diambil kepada semua pihak tanpa mengira parti jika isu berkenaan disentuh.

“Kita harap ini berterusan sehingga habis undi 12 Ogos ini tak ada isu 3R yang dibangkitkan oleh ahli-ahli politik tak kisah sebelah mana (kerajaan atau pembangkang).

“Harap kedua-dua pihak jangan eksploitasi dan mainkan isu-isu 3R dalam kempen”, katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontingen (IPK) Selangor.

Terdahulu, beliau meninjau proses pengundian awal pegawai dan anggota polis serta pasangan masing-masing di Markas Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Cheras.

Setakat jam 8 pagi ini katanya, sudah ramai anggota polis keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing dan keadaan berjalan lancar.

“Alhamdulillah, saya lihat berjalan lancar serta terkawal dan kami jangka mereka habis mengundi pada 12 tengah hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita.

Ayob Khan turut meninjau proses pengundian awal anggota PGA di Sekolah Kelas Al-Quran & Fardu Ain Integrasi Markas Briged Tengah PGA  dan  anggota FRU di Dewan Kompleks Perdana Pasukan Simpanan Persekutuan di Cheras.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pengundian awal melibatkan 49,660 anggota tenttera dan 47,728 anggota polis bersama pasangan masing-masing di enam negeri yang terlibat PRN.

Bagi PRK Parlimen Kuala Terengganu pula, seramai 1,362 anggota polis dan 35 anggota tentera bersama pasangan akan menunaikan tanggungjawab mereka.

Loading...
Terkini