comscore
Tumpuan :
Nasional

PRN 2023: Proses pengundian awal di Selangor berjalan lancar

Oleh: Khairul Rizuan Azizan

SUNGAI BULOH: Proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor berjalan lancar sejak jam 8 pagi tadi.

Tinjauan Buletin TV3 di Dewan Serbaguna Kem Sungai Buloh mendapati, anggota dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama pasangan masing-masing mula beratur sejak jam 7 pagi.

Sebanyak tiga saluran mengundi dibuka bagi melancarkan proses pengundian kira-kira 1,114 anggota dan pegawai bersama pasangan masing-masing.

Calon Pakatan Harapan (PH) DUN Kota Damansara, Izuan Ahmad Kassim turut meninjau proses pengundian di sini sekitar jam 9:30 pagi tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam pada itu meramalkan ribut petir dan hujan bakal melanda di beberapa kawasan negeri yang terlibat dalam hari pengundian awal ini seperti di Selangor dan Negeri Sembilan terutama di kawasan-kawasan berhampiran pantai.

Justeru, pengundi dinasihatkan keluar awal untuk menjalankan tanggungjawab mereka.

Seramai 97,388 individu terdiri daripada anggota dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan polis bersama pasangan masing-masing akan menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian awal PRN 2023 hari ini.

Pengundian awal turut membabitkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu, susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 27 Jun yang membatalkan kemenangan calon PAS Datuk Ahmad Amzad Hashim pada Pilihan Raya Umum ke-15 selepas mendapati berlaku perbuatan rasuah.

Loading...
Terkini