comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Projek Lebuhraya PJD Link tidak akan diteruskan

 


Oleh: Nurul Amalina Zainudin

PUTRAJAYA: Projek pembinaan Lebuhraya Petaling Jaya Traffic Dispersal Elevated Highway (PJD Link) tidak akan diteruskan selepas pemegang konsesinya, gagal memenuhi enam daripada 11 syarat ditetapkan.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, berkata keputusan itu dibuat Jemaah Menteri dalam Mesyuarat Kabinet hari ini, memandangkan sebelum ini pihak syarikat sudah memohon dua kali lanjutan bagi memenuhi syarat ditetapkan.

“PJD Link telah memohon lanjutan untuk memenuhi syarat, tetapi ini telah ditolak dan keputusannya adalah tidak diteruskan.

“Akibat daripada kegagalan memenuhi sejumlah syarat yang dikemukakan maka projek tersebut tidak diteruskan dan Kementerian Kerja Raya akan mengeluarkan kenyataan yang lebih lanjut mengenai perkara ini,” katanya.

Julai tahun lalu, Kerajaan Negeri Selangor memutuskan untuk membatalkan permohonan pembinaan lebuh raya berkenaan kerana pelan dikemukakan tidak menepati syarat.

Bagaimanapun pada 24 Februari lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari meminta pemaju lebuh raya yang dicadangkan untuk merundingkan semula jajarannya dengan Kerajaan Persekutuan.

Sebelum ini juga, Gabungan Persatuan Penduduk Taman Medan, Petaling Jaya yang mewakili 50,000 penduduk berharap kerajaan negeri dapat mengkaji semula pembinaan lebuh raya itu kerana ia mampu menyuraikan trafik di kawasan itu yang semakin serius.

PJD Link (M) Sdn Bhd (PJD Link), pemegang konsesi bagi cadangan PJD Link Expressway sebelum ini memperoleh pembiayaan berjumlah RM922 juta, sebahagian daripada keperluan membiayai projek lebuh raya berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini