comscore
Tumpuan :
Nasional

KDN muktamad perolehan 4 helikopter Maritim Malaysia 

Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah memuktamadkan proses perolehan empat helikopter bernilai RM600 juta untuk kegunaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Kementerian Kewangan akan membuat keputusan akhir berhubung perolehan berkenaan.

“Jadi itu semua sudah kita lakukan, berikutnya kita akan buat lawatan ke premis syarikat yang berjaya (peroleh tender) untuk kita bincangkan elemen keperluan pengguna, spesifikasi dan sebagainya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Warga Maritim Malaysia, di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Ruji Ubi dilaporkan berkata, Maritim Malaysia bakal mendapatkan aset baharu iaitu empat helikopter dan satu kapal induk bertujuan memantapkan operasi pasukan itu khususnya di perairan Sabah dan Sarawak.

Ujarnya, perolehan membabitkan peruntukan berjumlah RM600 juta sudah diluluskan bagi mendapatkan helikopter berkenaan yang akan ditempatkan di Pusat Operasi Udara Maritim Sandakan, Sabah.

Sementara itu, dalam ucapannya, Saifuddin berkata, pihaknya masih meneruskan rundingan berhubung tawaran US Coast Guard yang mahu menyumbangkan dua kapal perondanya kepada Malaysia sebagai tanda kerjasama erat kedua-dua negara.

“Saya sendiri dihubungi lagi baru-baru ini oleh Duta Amerika Syarikat (AS) yang mengulangi tawaran, memerlukan kita memberikan komitmen secara bertulis dan begitu juga beberapa proses rundingan yang sedang berjalan untuk memuktamadkan kaedah perolehan terutama membabitkan kapal berkenaan dan sebagainya.

“Ini adalah bukti berterusan komitmen kerajaan hari ini,” katanya.

Mengulas lanjut, tambah beliau, tawaran itu diberikan ketika lawatannya ke AS pada September tahun lalu yang melawat beberapa agensi termasuk US Coast Guard.

Jelasnya, Maritim Malaysia sudah melihat keupayaan aset berkenaan.

“Mereka (AS) melihat Malaysia sebagai satu negara yang ada elemen boleh mereka pelajari, pertama kerana luasnya kawasan laut kita, kira-kira 590,000 kilometer persegi.

“Kedua, disebabkan kompleksnya ancaman laut (di perairan Malaysia) seperti jenayah dan pelbagai,” katanya.

Ditanya sama ada Maritim Malaysia akan mengisi baki 15 peratus jumlah perjawatan yang diluluskan namun masih belum diisi lebih-lebih lagi dengan penambahan asetnya, Saifuddin berkata, perkara itu akan diberi keutamaan.

“Hampir semua agensi bawah KDN, kita antara kementerian yang mana agensinya guna tenaganya sudah kami capai.

“Dengan ucapan Datuk Saiful Lizan Ibrahim (Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia) berhubung penjawatan, saya akan segera berbincang dengan Ketua Setiausaha KDN dan angkat perkara ini kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk perjawatan dan sebagainya.

“Saya beri jaminan keperluan Maritim Malaysia ini diletakkan teratas,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini