comscore
Tumpuan :
Nasional

Isu sekolah padat: Kelas terapung antara solusi KPM

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek (kiri) melawat murid di dalam kelas, ketika Program Tindak Susul Parlimen (TSP) Siri 1 Tahun 2024 Berhubung Sekolah Padat dan Akses Pendidikan Daerah Klang, Selangor di Sekolah Menengah Kebangsaan Meru, Klang. FOTO: NSTP

Oleh: Shuhadah Marzuki

KLANG: Pelaksanaan Kelas Terapung antara intervensi jangka pendek dan sederhana Kementerian Pendidikan (KPM), dalam menguruskan isu membabitkan sekolah menengah dan sekolah rendah seluruh negara yang dikategorikan sebagai sekolah padat.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pelaksanaan kelas terapung itu juga bergantung kepada fasiliti dan kemampuan pentadbiran sekolah terbabit.

Menurutnya, kelas terapung merujuk kepada kelas tidak tetap, iaitu sesi pengajaran dan pembelajaran diadakan di mana-mana sahaja bilik kelas atau bilik kosong di sekolah akibat kekurangan bilik darjah di sesebuah sekolah.

“Antara langkah yang telah diambil oleh pentadbir termasuklah mewujudkan kelas terapung jadi ini antara dinamika terpenting yang diuruskan oleh pentadbir dan tidak menjejaskan sama sekali pembelajaran anak-anak kerana sekolah bergerak seperti biasa.

“Seperti yang kita lihat hari ini, perjalanan sekolah sangat tenang. Itu yang sangat mengagumkan. Pengurusan murid-murid bergerak juga sangat teratur dari satu kelas ke satu kelas yang lain,” jelas Fadhlina kepada Buletin TV3 selepas mengadakan kunjungan ke SMK Meru, Klang.

Jelas Fadhlina, pelaksanaan kelas terapung itu juga tidak menjejaskan sesi pembelajaran murid dan pengurusan guru untuk mengajar.

Selain pelaksanaan kelas terapung, KPM turut melaksanakan pembinaan bilik darjah tambahan bagi memastikan keselesaan murid di peringkat jangka masa sederhana.

KPM juga komited memfokuskan penyelesaian isu terbabit dalam usaha memberikan keselesaan dan suasana kondusif kepada pelajar.

Ketika ini sebanyak 86 buah sekolah mengalami isu kepadatan dengan jumlah murid melebihi 40 orang dalam satu bilik darjah.

Selangor dan Kuala Lumpur antara negeri yang mempunyai isu kepadatan pelajar di sekolah.

Loading...
Terkini