comscore
Tumpuan :
Nasional

Raja Nushirwan KP Keselamatan Negara baharu

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin dilantik sebagai Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkuat kuasa hari ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, Raja Nushirwan, 53, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Abertay, Dundee, Scotland.

“Tahniah atas pelantikan Raja Nushirwan sebagai Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkuat kuasa pada 30 Mei 2023,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Memulakan kerjaya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 21 Mac 1994 dan ditempatkan di Kementerian Luar, Raja Nushirwan berpengalaman luas dalam perkhidmatan awam dengan pengkhususan kepada hubungan antarabangsa.

Beliau pernah ditempatkan di pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, Sweden dan Singapura dengan jawatan terakhir adalah Duta Besar di Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, China.

“Semoga pelantikan beliau sebagai Ketua Pengarah Keselamatan Negara akan memacu kecemerlangan Majlis Keselamatan Negara dalam menerajui penggubalan dasar dan pengurusan keselamatan negara secara komprehensif, bersepadu dan berkesan dalam memastikan negara kekal aman, sejahtera serta berdaulat,” kata Mohd Zuki.

Loading...
Terkini