comscore
Tumpuan :
Nasional

Rakyat Malaysia diajak beli produk Palestin tanda sokongan

Setiausaha Penganjur DAP, Steven Sim.- Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin DAP mengajak semua rakyat Malaysia membeli produk keluaran Palestin sebagai tanda sokongan terhadap negara berdaulat itu.

Setiausaha Penganjur DAP, Steven Sim berkata, itu antara inisiatif yang boleh beliau lakukan sekarang kerana mengakui tidak mampu ke bumi Palestin untuk berperang dengan Israel.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan II turut menyatakan sokongan bagi menuntut perjuangan kemerdekaan rakyat di bumi anbiya itu.

“Oleh sebab penindasan Holocaust terhadap rakyat Palestin bukan sahaja hilang nyawa, malah sekatan di Tebing Barat membuatkan rakyat Palestin dirompak sebanyak RM16 bilion setahun.

“Sejak 1967, lebih kurang sejuta pokok zaitun milik rakyat Palestin dirampas.

“Saya tak mampu berperang di Gaza. Namun setiap tahun saya beli produk Palestin seperti minyak zaitun dan buah kurma. Kita rakyat Malaysia perlu sokong dengan membeli produk Palestin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pidato pada `Himpunan Malaysia Bersama Palestin’ di Axiata Arena Bukit Jalil, di sini malam tadi.

Dianggarkan lebih 15,000 orang hadir mewakili pelbagai agama, kaum dan negara bagi menunjukkan solidariti kepada Palestin.

Menyingkap sejarah penjajahan Israel ke atas tanah milik Palestin, Sim berkata rakyat di bumi anbiya itu dipaksa menerima hakikat penjajahan oleh rejim zionis.

Beliau berkata, hakikat itu terpaksa diterima kerana ada pihak yang bersimpati dengan menyatakan sokongan terhadap puak zionis, oleh kerana bangsa Yahudi menjadi mangsa Holocaust.

“Kita simpati dengan kaum tertindas di mana-mana. Tetapi jangan kita lupa Yahudi ditindas Holocaust selama empat tahun, tetapi rakyat Palestin ditindas lebih 70 tahun. Jangan bagi alasan.

“Isu Palestin ada sisi agamanya kerana Masjid al-Aqsa. Ini isu kemanusiaan. Pada 1975, (Tan Sri) Lim Kit Siang pernah berucap di Parlimen Revolusi Palestin dengan menegaskan bahawa perjuangan mesti didukung semua rakyat Malaysia pelbagai agama,” katanya.

Loading...
Terkini