comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Ramai bernikah di Selatan Thailand tidak buat pengesahan dokumen di pejabat konsulat’

Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi. – FOTO: NSTP

PATTANI: Pejabat Konsulat Malaysia di Songkhla mendakwa angka sebenar rakyat Malaysia yang berkahwin di Selatan Thailand jauh lebih ramai berbanding 700 pasangan warga Malaysia yang membuat pengesahan dokumen pernikahan bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata, daripada jumlah berkenaan kebanyakannya dengan tujuan berpoligami selain tidak mendapat restu keluarga.

Beliau berkata, kebanyakan mereka memilih untuk melakukan akad nikah di Songkhla selain Narathiwat, Yala dan Pattani.

“Bagaimanapun, kita percaya angka sebenar rakyat Malaysia yang berkahwin di Selatan Thailand jauh lebih banyak namun mereka tidak membuat pengesahan dokumen pernikahan di pejabat konsulat di Songkhla.

“Angka yang kita dapat ini berdasarkan pasangan yang tampil membuat pengesahan dokumen pernikahan. Namun bagi mereka yang tidak membuat pengesahan, kita tidak tahu.

“Namun kita percaya ramai yang tidak tampil membuat pengesahan sekali gus menyukarkan pasangan berkenaan untuk mendaftarkan perkahwinan di Malaysia.

“Antara punca mereka tidak membuat pengesahan dokumen perkahwinan disebabkan enggan perkahwinan mereka diketahui mana-mana pihak,” katanya ketika ditemui BH di sini.

Mengulas lanjut, Ahmad Fahmi berkata, setiap pengesahan dokumen perkahwinan yang dibuat di pejabat konsulat, pihaknya akan membuat semakan sama ada pasangan berkenaan berkahwin dengan jurunikah bertauliah atau sebaliknya.

“Alhamdulillah setakat kini mereka yang membuat pengesahan berkahwin dengan jurunikah yang bertauliah. Kita khuatir mereka yang tidak membuat pengesahan dinikahkan dengan jurunikah yang tidak bertauliah, sebaliknya yang disediakan ejen tertentu.

“Justeru, kita nasihatkan kepada mana-mana pasangan dari Malaysia yang mahu berkahwin di Selatan Thailand supaya tidak tertipu dengan ejen-ejen nikah yang menawarkan pelbagai pakej namun akhirnya dinikahkan dengan jurunikah tidak bertauliah.

“Ada juga kes di mana pasangan sudah membayar ribuan ringgit, namun akhirnya ditinggalkan terkontang-kanting di sini tanpa sempat bernikah,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini