comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Percikan api kerja kimpalan dipercayai punca letupan gudang mercun di Narathiwat

FOTO: Reuters

NARATHIWAT: Percikan api daripada kerja-kerja kimpalan dipercayai punca kepada letupan kuat di sebuah gudang mercun dan piroteknik di wilayah Narathiwat, selatan Thailand, semalam.

Letupan pada jam 3.30 petang (waktu tempatan) di Mundok, Sungai Golok itu memusnahkan lebih 200 rumah dan kedai serta 15 kenderaan.

Artikel berkaitan: Tragedi letupan gudang mercun, kerajaan Thailand bayar pampasan kepada waris mangsa

Jumlah kerugian dianggarkan 100 juta baht (RM13.45 juta).

Setakat ini tiada rakyat Malaysia terlibat dalam letupan itu.

Gabenor Narathiwat, Sanan Pongaksorn berkata sembilan terbunuh dalam kejadian itu termasuk seorang bayi berusia lapan bulan, kakaknya 4 tahun dan ibu mereka berusia 28 tahun.

Selain itu, beliau berkata seorang wanita warga Indonesia berusia 36 tahun adalah antara 117 yang cedera dalam kejadian itu.

“Siasatan awal menunjukkan bahawa percikan api daripada kerja-kerja kimpalan bagi memasang kabinet baharu di situ, dipercayai menyebabkan letupan.

Lebih 365 keluarga terjejas akibat letupan itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Tambah Sanan, kerajaan akan memberi pampasan kepada mereka yang cedera dan kepada keluarga mereka yang terkorban dalam kejadian itu.

Beliau berkata tujuh daripada mangsa dikebumikan dalam satu liang lahad, manakala identiti dua lagi masih menunggu keputusan ujian DNA.

Sanan berkata 10 lagi mangsa yang mengalami kecederaan masih menerima rawatan di Hospital Sungai Golok.

Gudang itu dilaporkan menyimpan sejumlah besar bahan letupan.

Foto dan video menunjukkan letupan itu memusnahkan kawasan besar di sekeliling gudang.

Sementara itu, Panglima Wilayah Tentera Keempat, Lt Jen Santi Sakuntanark berkata pasukan petugas khas (pasukan siasatan khas) ditubuhkan untuk menyiasat kejadian itu.

“Kami akan memanggil pemilik gudang sebaik dia pulang dari luar negara,” katanya.

Loading...
Terkini