comscore
Tumpuan :
Nasional

Rampas 1,531 pelbagai jenis mercun, peniaga barangan sejuk beku direman

ARAU: Polis merampas 1,531 pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM8,000 susulan penahanan seorang peniaga barangan sejuk beku di sebuah rumah di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Arau, Superitendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata serbuan dilakukan sekitar jam 5.30 petang di Taman Guar Gajah, Jalan Padang Nyu di sini.

Jelas Ahmad Mohsin, apabila polis tiba di perkarangan rumah itu dan memperkenalkan diri sebagai polis, seorang lelaki berusia 37 tahun keluar dan mengaku sebagai tuan rumah kepada kediaman terbabit.

“Polis kemudian masuk ke dalam rumah itu dan membuat pemeriksaan dan hasilnya berjaya menemui sejumlah besar pelbagai jenis mercun dan bunga api dalam 18 kotak yang berada di ruang tamu dalam rumah itu.

“Kita kemudian menahan suspek dan merampas kesemua barangan berkenaan untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Arau untuk siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, pihaknya percaya bekalan mercun dan bunga api itu diperoleh dengan pembelian secara pukal dari sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur.

“Bekalan mercun dan bunga api itu juga dipercayai untuk penjualan pada Ramadan dan Syawal ini.

“Semakan rekod jenayah lampau suspek yang berasal dari Jitra itu mendapati dia mempunyai lapan rekod lampau membabitkan jenayah pecah rumah, rogol dan memiliki dadah di kawasan Alor Setar, Jitra dan Batu Gajah.

“Selain mercun dan bunga api, kita turut merampas sebuah telefon bimbit berwarna biru milik suspek,” katanya.

Beliau berkata, suspek direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini