comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] `Rasuah berbilion, dah puluh tahun tapi selamat’  – PM arah 4 agensi siasat

 

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan empat agensi mencari pihak yang bertanggungjawab menyebabkan negara menanggung kerugian dianggarkan RM4.5 trilion dalam tempoh 26 tahun disebabkan rasuah dan ketirisan.

Empat agensi berkenaan katanya ialah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diarah melakukan apa saja tindakan mengikut undang-undang dalam isu itu.

Beliau menjelaskan, arahan itu tidak merujuk kepada pihak tertentu, sebaliknya meminta pihak berkuasa memastikan sesiapa sahaja yang didapati melakukan kesalahan dihadapkan ke muka pengadilan.

”Ada orang kata mengapa saya suarakan? saya suarakan supaya orang sedar. Kadang kita suarakan lawan rasuah pun, ada orang takut. Kita kena suarakan”.

”Tetapi saya tidak boleh berikan petunjuk satu per satu melainkan arahan umum.
Kerana ada orang-orang yang diketahui, rasuah berbilion, dah berpuluh tahun tetapi selamat. Tidak berani sentuh. ”

”Apa erti negara, kekuatan undang-undang? Kalau kita minta polis, LHDN ambil tindakan dibawah-bawah, tapi di atas tu terlepas. Dan kumpulan harta itu puluh-puluh bilion ringgit”, katanya.

Justeru, Anwar  menggesa semua pihak tanpa mengira perbezaan pegangan politik, kaum dan agama untuk bersama-sama menyokong tindakan kerajaan menghukum pihak yang melakukan rasuah.

Perdana Menteri berkata demikian pada Program Aidilfitri Malaysia MADANI anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di Dataran Merdeka, di sini hari ini.

Anwar mengulas kajian badan pemikir EMIR Research  bahawa Malaysia dianggarkan mengalami kerugian kira-kira RM4.5 trilion disebabkan rasuah dan ketirisan dalam tempoh 26 tahun lalu.

Anggaran itu diunjurkan dari krisis kewangan Asia pada 1997 sehingga tahun ini.

 

Loading...
Terkini