comscore
Tumpuan :
Nasional

Realisasi penubuhan dan akta khusus Suruhanjaya Kanak-kanak sebagai hadiah Hari Malaysia

Foto hiasan

PETALING JAYA : Penubuhan dan penggubalan akta khusus Suruhanjaya Kanak-kanak diperlukan supaya ia diberi mandat menjadi sebuah badan bertanggungjawab dalam memperjuangkan dan mempertingkatkan hak kanak-kanak di negara ini.

Pesuruhjaya Kanak-Kanak, Dr Farah Nini Dusuki berkata, sempena sambutan Hari Malaysia hari ini, penubuhan dan penggubalan akta khusus itu juga membolehkannya menjadi badan bebas bertindak secara holistik dan sistematik.

Katanya, sehingga kini, lebih daripada 50 negara di seluruh dunia sudah menubuhkan badan pengawasan mereka untuk kanak-kanak.

“Ini (penubuhan suruhanjaya) bukan sahaja terhad di peringkat kebangsaan seperti di New Zealand dan Norway, tetapi juga dilaksanakan di peringkat tempatan seperti Australia dan Amerika Syarikat, dengan mengambil kira konteks tempatan.

”Justeru, selaku Ketua Pesuruhjaya Kanak-kanak saya merayu agar hadiah ini (penubuhan suruhanjaya) diberikan kepada semua kanak-kanak di Malaysia sempena Hari Malaysia selepas sekian lama tertangguh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selasa lalu, kerajaan dilapor akan membentangkan Rang Undang-undang (RUU) khusus untuk penubuhan Suruhanjaya Kanak-Kanak Oktober depan sebagai usaha melindungi dan menyelesaikan isu berkaitan golongan itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kertas berkaitan Suruhanjaya Kanak-Kanak akan dibawa ke jemaah menteri pada mesyuarat Kabinet akan datang.

Katanya, pihaknya mahu suruhanjaya itu yang ketika ini berada di bawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dapat berdiri sendiri sebagai sebuah badan bebas dengan mempunyai aktanya tersendiri.

“(Suruhanjaya Kanak-Kanak) bukan pengendali (atau) agensi tetapi ia badan pemantau dalam segala aspek isu kanak-kanak. Undang-undang merangkumi isu kanak-kanak ini melebihi pendidikan (iaitu seperti) isu keselamatan, kesihatan dan kebajikan,” katanya.

Farah Nini berkata, penubuhan suruhanjaya itu penting bagi membela nasib dan memperjuangkan hak kanak-kanak khususnya kanak-kanak dalam komuniti kumpulan rentan, termasuk orang kurang upaya dan masyarakat luar bandar di Sabah dan Sarawak.

Katanya, sejak penubuhan Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak pada 2019, banyak aduan diterima membabitkan isu perlindungan kanak-kanak termasuk kes kesalahan seksual, penderaan dan pengabaian.

“Aduan serangan seksual paling kritikal dan kronik kerana penyelesaian tradisional masalah yang dilakukan melalui pembayaran penebusan dosa, terutama dalam liwat yang dilakukan terhadap pelajar oleh guru dan beberapa kes penderaan seksual dan fizikal terhadap kanak-kanak di rumah perlindungan.

“Ini adalah beberapa kes yang dilaporkan, belum lagi kes yang tidak dilaporkan.

“Kes yang dinyatakan itu sudah berjaya disalurkan dan diambil tindakan oleh pihak berkuasa berkaitan kerana peranan dan fungsi pejabat ini sebagai badan penyelia dalam menyelaras semua pihak yang berkaitan untuk menegakkan keadilan dan melindungi kanak-kanak,” katanya.

Beliau yang dilantik ke jawatan itu pada Mac lalu menjelaskan pejabat Pesuruhjaya Kanak-kanak tetap bekerja dengan gigih memperjuangkan hak kanak-kanak walaupun mereka kekurangan sumber, tidak dapat berdikari dan kekurangan kapasiti dalam sistem aduan.

Untuk rekod, Pesuruhjaya Kanak-Kanak kini adalah anggota Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).

Loading...
Terkini