comscore
Tumpuan :
Nasional

Undang-undang khas diwujud untuk jadikan Suruhanjaya Kanak-kanak sebuah badan bebas

Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said (kiri) mengadakan sidang media berhubung pelantikan Pesuruhjaya Kanak-kanak di Parlimen, hari ini.

KUALA LUMPUR: Undang-undang khas bakal diwujudkan untuk menjadikan Suruhanjaya Kanak-Kanak sebuah badan bebas atau pemerhati kepada isu membabitkan kanak-kanak di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata, rang undang-undang (RUU) berkaitan dijangka dibentang pada sidang Dewan Rakyat tahun ini.

Katanya, undang-undang khas perlu diwujudkan bagi memberi kebenaran dan kebebasan kepada Pesuruhjaya Kanak-Kanak memantau, menyuarakan pendapat, menilai dan membantu kerajaan membawa lebih banyak kebaikan kepada golongan itu.”

Jabatan Perangkaan mengesahkan jumlah kanak-kanak di negara ini pada 2020 ialah 9.3 juta orang atau kira-kira 28.4 peratus daripada keseluruhan penduduk.

“Daripada jumlah itu, 49.9 peratus kanak-kanak lelaki, manakala 50.1 peratus adalah kanak-kanak perempuan.”Oleh kerana peratusan (kanak-kanak) yang tinggi, adalah penting bagi kerajaan memberi perhatian lebih dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak.

“Ini menunjukkan keperluan bagi memastikan kanak-kanak di Malaysia mempunyai akses kepada pelbagai perkhidmatan asas seperti pendidikan, kesihatan dan keselamatan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Dewan Rakyat, hari ini.

Turut hadir Pesuruhjaya Kanak-Kanak bagi menganggotai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Dr Farah Nini Dusuki.

Farah Nini yang dilantik ke jawatan itu untuk tempoh tiga tahun mulai 8 Mac lalu, adalah pensyarah kanan di Fakulti Undang-Undang Universiti Malaysia (UM).

Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) ketika ini adalah bahagian khusus di bawah SUHAKAM yang menjaga dan membawa mandat berkenaan hak kanak-kanak di Malaysia.OCC ditubuhkan pada suku terakhir 2019 lanjutan daripada pelantikan Pesuruhjaya Kanak-Kanak SUHAKAM pada Ogos tahun sama.

Walaupun belum ada libat urus antara pemegang taruh termasuk dengan ahli Parlimen khususnya di blok kerajaan, Azalina menegaskan, kerajaan mempunyai kehendak politik kuat dalam menjayakan undang-undang itu.

Tegasnya, peranan dan tugas Pesuruhjaya Kanak-Kanak di bawah SUHAKAM perlu dipisahkan bagi meluaskan kuasanya.

“Perlu ada ada kekuatan politik untuk melakukannya kerana jika tidak, Pesuruhjaya Kanak-Kanak menjadi sebahagian daripada SUHAKAM dan SUHAKAM ada akta sendiri, maka itu pun ada kekangan.”SUHAKAM lebih kepada hak asasi, kepakaran Pesuruhjaya Kanak-Kanak perlu kepada pemerhati,” katanya.

Azalina mengakui cabaran besar perlu dihadapi terutama membabitkan isu antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri serta elemen perbezaan undang-undang agama termasuk kanak-kanak itu sendiri.

Justeru, beliau berharap semua pihak dapat berperanan supaya RUU itu boleh dibentang dan diluluskan demi kebaikan golongan kanak-kanak.

Loading...
Terkini